JOHOR BAHRU: Ajaran Pas telah mewujudkan budaya politik taksub dan jumud kepada pemimpin utama parti tersebut yang dilihat terdiri dalam kalangan golongan berlatarbelakangkan agama.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, disebabkan itu Mursyidul Am Pas sejak dahulu lagi disanjung tinggi seperti orang Iran menyanjungi Ayatollah sebagai pemimpin agung mereka.
“Kalau sistem parti dan politik pun seakan-akan Iran, maka tak peliklah kalau Pas juga seperti mengikuti acuan negara Timur Tengah itu dalam mentadbir dengan cara menekan atau menindas rakyat secara tak langsung. Sebab itu kalau kita lihat penyokong Pas cukup taksub dengan segala tindak-tanduk dan percakapan pemimpin mereka, kalau pemimpin kata sokong Pas dapat pahala, walau angguk kepala, pemimpin kata perjuangan Pas adalah syahid, mereka laung takbir dan pemimpin Pas kata rasuah pilihan raya adalah sedekah, mereka terus percaya.
“Tetapi akhirnya pemimpin mereka perbodohkan pengikut secara buta tuli dan dalam masa yang sama mereka gembira dengan jawatan dalam kerajaan negeri tapi makan gaji buta. Jadi, saya ulang sekali lagi persoalan kepada pengundi Melayu dan bukan Melayu, hanya ada dua pilihan parti Melayu, UMNO atau Pas.
“Kalau orang Melayu atau lebih penting orang bukan Melayu tidak mahu kepada UMNO, mereka akan dapat Pas secara automatik kerana parti dominan Melayu hanya dua parti berkenaan,” katanya.
Nur Jazlan tidak bersetuju dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang meminta pengundi menyokong Perikatan Nasional (PN) dengan alasan menyelamatkan Islam.
“Bagi saya, alasan dangkal itu sebenarnya menghina dan merendahkan minda orang Islam di Johor, seolah-olah syiar Islam di negeri ini dalam situasi terancam, tertindas dan mundur. Jika dibandingkan Kelantan dan Terengganu yang diperintah Pas dengan Johor, martabat Islam di negeri ini dijulang lebih tinggi daripada dua negeri Pas itu.
“Malah, kerajaan negeri Johor sejak puluhan tahun lalu telah menguruskan hal ehwal Islam baik dari segi kedaulatan, ekonomi dan kebajikan dengan sistematik dan cemerlang sekali. Kalau nak dibandingkan dengan Kelantan, memang macam langit dan bumi.
“Pendek kata kalau ikut acuan Islam ala Pas yang macam kerajaan Iran dan Taliban itu, maka negeri Johor yang sudah maju akan mundur ke belakang dari semua segi sama ada ekonomi, pembangunan, sosial dan syair Islam,” katanya.
Nur Jazlan turut memberitahu ramai rakyat Kelantan dan Terengganu berhijrah ke negeri ini untuk mencari rezeki kerana peluang pekerjaan yang lebih banyak ekoran kemajuan ekonomi.
“Kalau mereka tak keluar merantau dari Kelantan, apakah peluang pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan Pas untuk mereka. Bagi saya, Islam ala Pas yang buatkan Kelantan ketinggalan dari semua segi. Sebab pemimpin hanya sibuk politik taksub dan pembasuhan minda rakyat semata-mata nak kekal berkuasa. Sedangkan urus tadbir dan tata kelola negeri ke laut,” tambahnya. – Utusan