CYBERJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merakam percakapan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How semalam, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan itu menghina agama Islam dengan mentafsir sendiri ayat al-Quran.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata, rakaman percakapan Howard diambil pada 3 petang di Ipoh, Perak mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan Selasa malam.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak serta tidak menyalahi undang-undang berkaitan isu 3R (kaum, agama dan raja) ketika menggunakan platform berkenaan.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Sebelum ini, Howard tampil memohon maaf secara terbuka atas tindakannya memetik ayat al-Quran dalam satu video di laman media sosialnya, baru-baru ini.
Howard berkata, beliau sama sekali tidak berniat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.