CYBERJAYA: Mana-mana individu yang bakal menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memiliki pengalaman dan kelayakan sesuai untuk memikul tanggungjawab berat tersebut.
Penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, pengganti Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub itu juga perlu bekerja keras dan memahami isu-isu berkaitan kementerian, selain peka terhadap rintihan dan masalah rakyat.
“Calon yang dipilih juga perlu memastikan kerjasama dengan kementerian-kementerian lain dengan cara menggemblengkan usaha dan tangani masalah berkaitan.
“Tapi, apa yang paling penting adalah wakil rakyat yang dipilih kelak dapat bekerja sebagai satu pasukan dan memahami gesaan dan hala tuju yang telah digariskan sebagai menteri, yang akhirnya dapat dilaksanakan dengan efektif dan berkesan menerusi tugas dan tanggungjawab ke atasnya,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Menteri KPDN perlu diisi wakil rakyat Amanah
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, kekosongan jawatan Menteri KPDN akan diisi secepat mungkin, manakala mana-mana pihak yang mempunyai cadangan calon sesuai boleh menulis surat kepada beliau.
Sebelum ini, timbul desas-desas mengenai Ahli Parlimen Pulai baharu, Suhaizan Kayat yang bakal dilantik sebagai Menteri KPDN menggantikan Allahyarham Salahuddin.
Mengulas lanjut, Jeniri Amir berkata, kekosongan kerusi menteri itu perlu diisi oleh wakil rakyat atau Ahli Parlimen dari Parti Amanah Negara (Amanah).
Memandangkan Allahyarham Salahuddin merupakan Timbalan Presiden Amanah, beliau berkata, parti itu sudah tentu mengharapkan jawatan menteri itu disandang semula oleh pemimpin kanan Amanah.
“Saya beranggapan tak boleh letak orang (calon) baharu) kerana sebelum ini kita sudah lihat pencapaian menteri yang tiada pengalaman di bawah Pakatan Harapan (PH) ketika diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat gagal.
“Jika ia berlaku lagi, adakah mereka mempunyai kepintaran, kearifan dan keupayaan untuk tangani masalah rakyat dan isu berkaitan dengan kementerian itu?” soalnya.
Teruskan program Rahmah
Jeniri Amir berkata, sekiranya Suhaizan dipilih menerajui KPDN, mahu atau tidak, beliau perlu cekap mempelajari tugas dan peranan di bawah kementerian tersebut.
“Untuk itu, beliau perlu turun padang dan saya percaya beliau memiliki komitmen dan sudah tentu memahami isu dihadapi rakyat khususnya kos sara hidup.
“Beliau juga harus meneruskan program sesuai yang telah dilaksanakan Allahyarham seperti Payung Rahmah, Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah, sumbangan tunai atau sumbangan keperluan asas Rahmah. Ini penting bagi meringankan beban golongan miskin tegar dan B40,” katanya.