HomeBeritaPengilang enggan bungkus beras tempatan

Pengilang enggan bungkus beras tempatan

 

MELAKA: Isu kekurangan beras tempatan dan kenaikan harga beras import di pasaran bertambah kritikal apabila terdapat segelintir pengilang tidak bertanggungjawab enggan memproses beras tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh mengakui, situasi itu turut berlaku di negeri ini yang mana pengilang terlibat memberikan alasan mereka menanggung kerugian.

Beliau berkata, alasan itu tidak munasabah dan dilihat seolah-olah mahu mengambil kesempatan di atas tekanan yang sedang dihadapi rakyat, sedangkan bekalan beras tempatan telah disalurkan untuk diproses dan diedarkan kepada pengguna.

“Kita lakukan pemeriksaan di dua buah kilang baru-baru ini, satu kilang ikut prosedur ditetapkan manakala satu lagi kilang tidak mahu proses beras tempatan dengan alasan menanggung kerugian.

“Saya sanggah alasan itu bukan rugi, cuma keuntungan daripada beras tempatan ini sedikit berbanding kalau mereka proses dan pasarkan beras import yang harganya tidak dikawal kerajaan. Ini semua alasan, kita boleh ambil tindakan batalkan lesen mereka dan berikan kepada kilang yang mahu membungkus beras tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, jurang harga begitu ketara antara beras tempatan dengan beras import menyebabkan segelintir pembekal dan peruncit tidak berminat memasarkan makanan ruji berkenaan, sehingga mencetuskan kekurangan bekalan yang sedang dialami di seluruh negara.

Pengerusi Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) Zon Selatan, Khalil Ahmad berkata, ini kerana bagi sekampit beras tempatan dengan berat 10 kilogram (kg) yang dijual pada harga RM26, mereka hanya memperoleh kadar keuntungan sekitar 50 sen.

Katanya, situasi itu membuatkan pemborong dan peruncit lebih berminat memasarkan beras import yang harganya jauh lebih tinggi pada waktu ini.

Tambah Muhamad Akmal, bermula minggu ini, rakyat Melaka boleh membuat pembelian beras tempatan 10kg di kesemua 28 kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) pada setiap Sabtu atau Ahad.

“Insya-Allah kita akan adakan jualan beras tempatan yang kita akan berikan pada setiap Japerun. Ia akan berlaku serentak, maknanya kalau dekat Merlimau, dekat Klebang, dekat Tangga Batu akan ada. RM26 untuk 10kg,” jelasnya.- Utusan

Author

Pilihan Editor