CYBERJAYA: Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali UAI menempelak sikap pembeli yang terlalu taasub sehingga sanggup beratur panjang serta menunggu lama demi mendapatkan produk ‘viral’.
UAI menyifatkan perangai itu dikategorikan sebagai penyakit akhir zaman.
“Beratur dari 12 malam, pukul 9 pagi esok baru dah boleh kedai buka. Patutnya esok lah pergi beli, ini cerdik ke bodo? Bukan kita kelaparan enam tahun takda makanan.
“Tu penyakit akhir zaman. Kasih kepada viral, kasih kepada kemegahan (rasa hebat),” katanya dalam satu sesi ceramah, baru-baru ini.
Dalam pada itu, UAI memuji sesetengah peniaga yang menjalankan perniagaan di dalam TikTok kerana masih menjaga pantang larang dalam Islam.
Sebaliknya, menyelar sesetengah peniaga yang memandang ringan soal keberkatan sehingga sanggup melanggar perintah agama dalam mencari keuntungan.
“Promosi makanan dalam TikTok sekarang sebahagiannya bagus kerana apa? Dia jaga pantang larang dalam Islam.
“Tapi sebahagian promosi dalam TikTok Haram. Bila haram jadilah perniagaan itu tidak ada berkat.
“Masalah kita sekarang, kita tak perlukan keberkatan dah, kita nak kejar laku, laris view tinggi, rating kita tinggi orang banyak datang beli dan pembeli pulak rasa hebat dapat beli benda yang viral.
Malah, promosi yang kadangkala menyimpang dari landasan Islam yang sebenar antaranya sanggup menayang aset diri semata-mata hendak lariskan jualan.
“Nak suruh lakunya mi goreng, apa hal mu tunjuk punggung mu pulak.
“Tu macam tak pakai baju la, pakai baju tapi telanjang, pakai seluar tapi nampak bentuk dua punggungnya.
“Siapa mereka ni? Member of the hell, ahli neraka!” selar UAI.