HomeBeritaPerniagaan milikan tunggal paling ‘culas’ bayar cukai - LHDN

Perniagaan milikan tunggal paling ‘culas’ bayar cukai – LHDN

 

BUKIT MERTAJAM: Jenis perniagaan yang dijalankan secara persendirian atau milikan tunggal dikenal pasti sebagai antara syarikat atau organisasi yang paling kerap ‘mengelak’ atau ‘culas’ membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengarah Negeri LHDN Pulau Pinang, Norfaidah Daud berkata, keadaan ini berbeza jika dibandingkan dengan jenis perniagaan lain terutama yang melibatkan syarikat-syarikat yang lebih besar.

Katanya, syarikat-syarikat berkenaan lebih tersusun dari segi struktur organisasi termasuk memiliki khidmat untuk membuat pembayaran cukai secara lebih sistematik selain memiliki setiausaha syarikat dan akauntan yang ditugaskan untuk tujuan itu.

“Kebanyakan perniagaan jenis ‘sole-props’ (milikan tunggal) ini tidak ada itu semua. Ini menyebabkan ‘compliance rate’ (kadar pematuhan) mereka berbeza sedikit berbanding syarikat lain.

“Justeru, kita berusaha sebaik mungkin untuk mempertingkatkan ‘compliance rate’ itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sesi pelepasan atau ‘flag-off’ program Lawatan Konsultasi Hasil (LKH) LHDN Pulau Pinang di Bandar Perda, di sini hari ini.

Berlangsung selama empat hari bermula hari ini, program LKH itu melibatkan lawatan ke 215 premis berkaitan secara keseluruhannya di kelima-lima daerah di negeri ini.

Antara objektif pelaksanaan LKH termasuk mewujudkan rasa keberadaan ‘Team HASiL’ dalam kalangan pemain industri, memahami aktiviti perniagaan dan cabaran yang dihadapi serta memberikan khidmat nasihat percukaian yang relevan kepada pembayar cukai.

Pada masa sama, lawatan itu diadakan bertujuan melengkapkan proses tindakan undang-undang selain mempromosikan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0.

Sementara itu, beliau memberitahu, sambutan yang diterima terhadap PKPS 2.0 bagi negeri Pulau Pinang ketika ini agak baik walaupun sedikit perlahan pada peringkat permulaan.

Dalam perkembangan lain, katanya, Pulau Pinang merekodkan nilai kutipan cukai keseluruhan sebanyak RM6,788,877,485.15 yang melibatkan seramai 958,743 pembayar cukai sepanjang tahun lepas.

Katanya, jumlah itu menyumbang sebanyak 3.87 peratus kutipan cukai negara secara keseluruhannya untuk tahun tersebut.

“Untuk tahun ini pula, kami menyasarkan kutipan cukai lebih daripada RM7 bilion,” katanya yang memaklumkan, Pulau Pinang merupakan negeri yang mencatatkan kutipan cukai kedua tertinggi negara tahun lalu selepas Sarawak. – Utusan

Author

Pilihan Editor