HomeBeritaPersiapan majlis kahwin rosak sekelip mata dilanda ribut

Persiapan majlis kahwin rosak sekelip mata dilanda ribut

IPOH: Luluh hati seorang ibu apabila melihat persiapan majlis perkahwinan anak perempuannya pada Ahad depan rosak selepas rumah mereka dilanda ribut dalam kejadian di Taman Bandar Baru Putra, Bercham di sini semalam.

Menurut Nor Azura Othman, 52, kejadian sekitar pukul 3.50 petang itu berlaku sekelip mata tanpa sempat dia dan keluarga menyelamatkan barangan untuk majlis perkahwinan itu termasuk hantaran dan pakaian pengantin.

Katanya, hujan lebat dikuti angin kencang mengakibatkan bumbung dan sengkuap (awning) tercabut hingga menyebabkan air hujan masuk ke dalam rumah.

“Kejadian berlaku sangat pantas, dalam tempoh 20 saat sahaja bumbung dan sengkuap rumah serta tiang konkrit di tempat letak kenderaan tercabut diterbangkan angin.

“Saya dan anak-anak segera berlari ke dalam bilik bagi menyelamatkan suami kerana dia terlantar sakit ekoran menghidap kanser,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Nor Azura, selain bilik pengantin, tiga bilik lain di rumahnya turut ‘banjir’ hingga mengakibatkan perkakasan di dalam bilik termasuk perabot dan barangan elektrik rosak.

“Dari pagi lagi, saya sudah siapkan bilik pengantin, cuma belum pasang cadar sahaja lagi. Semua persediaan majlis seperti bunga manggar, hantaran, baju untuk akad nikah pun sudah siap disusun di dalam bilik.

“Sejak semalam saya belum lagi masuk ke bilik itu untuk melihat keadaannya. Rasa sedih untuk lihat barang-barang itu sebab kesian dengan anak. Saya cakap dengan dia (pengantin perempuan), takpelah saya akan cuba siapkan semula sebelum majlis itu nanti,” katanya.

Tambahnya, buat masa sekarang dia berusaha membaiki semula bumbung yang tercabut dan berharap kerja-kerja pembaikan itu dapat disiapkan segera.

“Saya bimbang kalau bumbung tidak dibaiki segera, ia akan menjadi lebih teruk tambahan lagi di sini hujan pada setiap petang. Harapnya tiada lagi kejadian ribut selepas ini kerana majlis perkahwinan akan dilangsungkan dalam masa terdekat,” katanya. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor