BATU PAHAT: Gara-gara percaya dengan janji manis kononnya mampu memperolehi pulangan lumayan seorang pesara kerajaan berputih mata selepas RM289,067 wang simpanannya lesap akibat terpedaya dengan satu skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima laporan mangsa yang merupakan lelaki warga emas berusia 68 tahun semalam.
Katanya, pada 24 Ogos lalu, mangsa telah berurusan dengan seorang wanita menerusi Facebook dan aplikasi WhatsApp sebelum diajak untuk menyertai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Mangsa kemudian diminta memuat turun satu aplikasi dengan menekan pautan diberikan seterusnya memberikan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan maklumat akaun bank bagi tujuan pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail lagi, mangsa juga diterangkan untuk mengendalikan aplikasi tersebut dan diberitahu keuntungan akan diperoleh mengikut kemampuan modal masing-masing.
Ujarnya, mangsa berminat dengan tawaran tersebut dan pada tarikh 24 Ogos sehingga 21 September telah membuat pindahan wang ke dalam tujuh akaun bank yang berbeza atas arahan suspek berjumlah RM289,067.
Bagaimanapun katanya, selepas bayaran dibuat, mangsa tidak menerima sebarang pulangan wang yang dijanjikan sebelum menyedari ditipu dan membuat laporan polis.
Menurut Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Kosmo!