HomeBeritaPM dicadang jawab isu DNAA Zahid dalam sesi PMQ di Dewan Rakyat

PM dicadang jawab isu DNAA Zahid dalam sesi PMQ di Dewan Rakyat

 

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen blok kerajaan mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab sendiri keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi di Dewan Rakyat.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, beliau mencadangkan supaya Anwar menjelaskan isu itu semasa Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ).

“Kalau tidak dalam masa terdekat ini, waktu sidang Sesi Soal Jawab Perdana Menteri. Untuk berlaku adil supaya sahabat-sahabat di blok pembangkang dan kami backbenchers (Ahli Parlimen yang tidak pegang jawatan eksekutif), kami nak dengar dari Perdana Menteri sendiri supaya isu DNAA dinoktahkan juga dalam dewan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, badan kehakiman seharusnya tidak disalahkan berkenaan isu DNAA ini, sebaliknya ia adalah tanggungjawab Peguam Negara.

“Memang saya kurang puas hati tentang perjalanan itu. Saya merasakan Peguam Negara perlu memikul tanggungjawab ini dan amat sesuai Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi memanggil Peguam Negara yang lepas dan semasa untuk mendapatkan penjelasan.

“(Mereka) mesti datang. Tak boleh kata tak boleh datang. Jawatankuasa ini ada hak dan Parlimen satu badan yang ada integriti” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformai Institusi memaklumkan akan memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Peguam Negara yang baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor