HomeBeritaViralSindiket warga asing rembat wang dalam peti 'cashier' di Econsave

Sindiket warga asing rembat wang dalam peti ‘cashier’ di Econsave

TINDAKAN licik dua ahli sindiket warga asing dalam memperdaya rakyat tempatan berjaya membuahkan hasil.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), perkara itu bermula apabila seorang lelaki berpura-pura membeli barangan, sebelum mendekati juruwang wanita di sebuah pasaraya.

Ketika proses pembayaran dilakukan, lelaki berbaju hitam dan memakai pelitup muka itu sempat berbual dengan juruwang tersebut dan kononnya mahu menimbulkan salah faham.

Tidak dapat dipastikan perbualan sebenar antara mereka berdua, namun lelaki itu dilihat menunjuk-nunjuk peti yang menyimpan wang tersebut.

Dia kemudian dengan selamba mengambil kepingan wang di dalam peti tersebut dan berpura-pura mengira jumlahnya.

Ketika seorang juruwang lelaki bertanyakan tentang masalah yang sedang berlaku, seorang lagi lelaki, dipercayai rakan subahat suspek dilihat cuba mengalihkan perhatian.

Merasakan ia masa sesuai, suspek kemudian secara senyap-senyap memasukkan wang yang ada dalam genggaman ke dalam poketnya tanpa disedari juruwang terbabit.

Kejadian yang berlaku pada Jumaat itu berlokasi di pasar raya Econsave, yang tidak dapat dipastikan cawangan sebenar.

Video mengenai insiden itu turut dikongsi di laman Facebook Econsave, manakala belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa setakat berita ini ditulis.

Author

Pilihan Editor