HomeBeritaSultan Selangor titah fatwa pemimpin politik trend bahaya

Sultan Selangor titah fatwa pemimpin politik trend bahaya

PETALING JAYA: Semua rakyat terutama pemimpin politik digesa menghentikan perbuatan mengeluarkan sebarang fatwa dengan secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat negara ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam bertitah, baginda membangkitkan isu berkaitan dengan pengeluaran fatwa secara berleluasa oleh sebahagian pemimpin-pemimpin politik sejak akhir-akhir ini yang merupakan satu trend amat membahayakan.

Baginda menyeru kepada polis agar bertindak proaktif dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka membangkitkan isu-isu sensitif melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu supaya menjadi satu pengajaran dan ketakutan kepada mereka berhasrat melakukan perkara sama pada masa hadapan.

“Oleh itu, suka beta mengingatkan dan menggesa kepada rakyat sekelian terutama pemimpin-pemimpin politik agar segera memberhentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab ini demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

“Beta tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab ini. Ingatan beta ini tidak bermaksud menyebelahi mana-mana pihak atau golongan mana-mana parti politik.

“Malah beta memilih untuk mengeluarkan kenyataan ini selepas pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil selesai bagi mengelakkan kenyataan beta disalahertikan sebagai memihak sesuatu kumpulan politik. Beta menyeru agar janganlah agama diperalatkan bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri,” titah baginda dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sultan Sharafuddin Idris menegaskan, fatwa di negara ini hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau mufti setelah mendapat perkenan daripada raja bagi setiap negeri yang mengeluarkan sesuatu hukum tersebut.

Titah baginda, di samping itu Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) juga bertanggungjawab di dalam mengeluarkan pandangan hukum setelah perbincangan dengan mufti-mufti setiap negeri diadakan dan setelah mendapat perkenaan dari Majlis Raja-raja.

“Selanjutnya pandangan hukum tersebut diangkat untuk pertimbangan setiap Jawatankuasa Fatwa Negeri dan mendapat perkenan raja bagi sesebuah negeri untuk difatwakan. Sesuatu Fatwa yang dikeluarkan bukan semata-mata atas dasar pandangan individu seorang Mufti sahaja.

“Bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli sama ada di dalam Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI dan atau Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri yang terdiri daripada alim ulama dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

“Ini adalah bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan adalah tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat. Sebaliknya sekiranya fatwa dibenarkan untuk dikeluarkan oleh orang-orang politik dan pemimpin-pemimpin politik ianya akan pasti mencetuskan perbalahan, perpecahan, keganasan di dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa,” titah baginda.

Author

Pilihan Editor