CYBERJAYA: Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan hukum haram bagi individu mengundi calon parti lawan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat dan mencemar kesucian Islam.
Bimbang dengan perkara itu, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, istilah haram boleh didefinisikan kepada enam maksud berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, masyarakat di negara ini umumnya mengaitkan penggunaan istilah tersebut dengan hukum syarak, iaitu hukum tegahan dalam Islam.
Dalam erti kata lain, katanya, hukuman tegahan itu menjanjikan ganjaran pahala bagi individu yang mematuhinya manakala dosa bagi mereka yang mengingkarinya.
“Justeru, selaku badan yang diberi amanah dalam menjaga dan memelihara kesucian agama Islam di negara ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat khuathir dengan tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghukum pihak-pihak yang tidak sealiran fahaman dengan kumpulan masing-masing.
“Situasi ini akan mencetuskan bibit-bibit perpecahan yang lebih serius dan mengancam keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyatakan haram hukumnya bagi mereka yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, pada PRK Parlimen Pulai.
Muhyiddin mendakwa, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, negara ini memiliki pihak berautoriti dalam mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa mengenai sesuatu perkara.
Justeru, berharap agar rakyat dapat menghormati pihak berautoriti dan tidak terpengaruh dengan hukum-hukum yang dikeluarkan untuk tujuan kepentingan politik kumpulan.
Beliau turut menasihatkan pihak yang terlibat dalam PRK pada Sabtu ini untuk bersaing secara sihat, dengan mengemukakan buah fikiran serta idea-idea untuk membangunkan rakyat.
“Hentikan segala kempen yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman.
“Saya juga menyeru semua pihak agar bertanggungjawab untuk menghormati kesucian agama Islam, menjaga perpaduan dan keamanan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam negara yang tercinta ini,” tambahnya.