CYBERJAYA: Baru-baru ini, tular di media sosial video seorang penunggang p-hailing menyepak motosikal yang dipercayai miliknya beberapa kali sehingga mengalami kerosakan di sebuah pusat beli belah di Puchong.
Jelas kelihatan bahagian belakang motosikal itu ‘terpelanting’ akibat disepak.
Turut kelihatan, beg berwarna merah jambu dipercayai Food Panda tersadai tidak jauh dari kenderaan itu.
Difahamkan, individu terbabit tidak membayar duit bulanan motosikal selama hampir tiga tahun menggunakannya.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian berlaku jam 3.10 petang pada 11 September lalu disebabkan pemilik motosikal tidak berpuas hati dengan penarikan motosikal disebabkan mempunyai tunggakan bayaran selama 34 bulan.
Menurutnya, lelaki itu menendang motosikalnya sendiri sebelum serah kepada ejen tarik kenderaan.
“Laporan tarik motosikal dibuat oleh ejen tarik kenderaan pada hari sama di Balai Polis Brickfield,” katanya dalam kenyataan hari ini.
@thembq6111 ??? #fypシ #foodpanda
Di ruangan komen, rata-rata netizen mengkritik tindakan lelaki berkenaan kerana dianggap tidak bersyukur dengan harta yang dimilikinya.
“Aku walau marah macam mana sekalipun, aku takkan rosakkan harta yang bawa aku cari rezeki. Tapi entah lah bang, semoga urusan kau dipermudahkan..,” komen netizen.
“Motor tu lah kau ciduk order buat isi perut, esok try hantar order jalan kaki tengok,” selar pengguna TikTok.
“Memang ada jenis kalau marah dia rosakkan harta benda. Marah macam mana pon jangan dirosakkan harta benda kita beli pakai duit, kerja keras nak dapatkan sesuatu,” kongsi netizen.