HomeBeritaPolitikTolak usul kes DNAA Ahmad Zahid, Syed Saddiq persoal jika wakil rakyat...

Tolak usul kes DNAA Ahmad Zahid, Syed Saddiq persoal jika wakil rakyat ‘dibisukan’

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan persoalan sama ada wakil rakyat pembangkang kini dibisukan di dalam Dewan Rakyat kerana tidak boleh mengkritik kerajaan.

Ia susulan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin yang menolak usul tergempar dibawa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah .

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, sekiranya pembangkang dibisukan, bagaimana untuk membicarakan soal rakyat selepas usul tergempar keputusan DNAA Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ditolak.

Beliau memberikan contoh pada 2015 apabila 70 Ahli Parlimen yang dahulunya berada di blok pembangkang dan kini berada di kedudukan kerajaan membangkitkan semua perkara seperti keputusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan serangan terhadap peguam negara pada waktu itu.

“Seramai 70 Ahli Parlimen dalam dewan ini di blok pembangkang yang ingin bicarakan soal keputusan hakim di mahkamah, sebelum itu keputusan 1MDB, serangan ke atas peguam negara semua boleh mereka bangkitkan, (tetapi) kini berada di kedudukan kerajaan, hipokrit,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa seperti dilapor Berita Harian.

Pada Isnin, usul tergempar dibawa Wan Ahmad Fayhsal mengenai keputusan mahkamah terhadap Ahmad Zahid ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq turut menuduh kerajaan melakukan pembohongan terbesar di peringkat nasional berkait isu mahu melawan rasuah.

“Kerana realitinya ini adalah pembohongan terbesar peringkat nasional sebelum (ini) kata nak lawan rasuah, takkan gugurkan kes, akan penjarakan kleptrokrat (tapi) hari ini membebaskan mereka,” katanya.

Terdahulu beberapa Ahli Parlimen turut membangkitkan persoalan mengenai usul tergempar yang dibawakan oleh Wan Ahmad Fahysal.

Antaranya Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta kerajaan untuk meletakkan hala tuju terhadap 47 pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahmad Zahid.

“Saya minta kerajaan meletakkan hala tuju kepada 47 kes ini sama ada kerajaan nak tarik terus atau kerajaan nak dakwa semula dan sebagainya,” katanya.

Shahidan dalam masa sama turut mengucapkan tahniah terhadap Syed Saddiq dan menggelarkannya sebagai hero rakyat Malaysia, susulan penarikan diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan dan memilih menjadi pembangkang.

“Saya nak ucap tahniah kepada Muar, hero rakyat Malaysia sekarang adalah Muar,” katanya.

Author

Pilihan Editor