HomePendidikanUSM, StarFive jalin kerjasama bangunkan teknologi RISC-V

USM, StarFive jalin kerjasama bangunkan teknologi RISC-V

CYBERJAYA: Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) menandatangani satu memorandum persetujuan bersama StarFive Technology International Sdn. Bhd. untuk membangunkan teknologi RISC-V.

Teknologi RISC-V (disebut Risk 5) ataupun Reduced Instruction Set Computer V adalah sebuah set arahan sumber terbuka yang dibangunkan berdasarkan piawaian RISC sedia ada untuk membangunkan cip pemprosesan.

Malah, teknologi itu kini giat dibangunkan dengan pesat dengan bantuan oleh syarikat-syarikat teknologi gergasi seperti Qualcomm, Robert Bosch, Infineon dan Nordic Semiconductors, lapor Amanz.

Dekan PPKEE, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Bin Sundi @ Suandi berkata, pihaknya amat berbesar hati atas kerjasama yang diberikan yang secara tidak langsung dapat memupuk bakat dan budaya inovasi dalam bidang teknologi.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada StarFive Technology atas peluang yang diberikan, dan bersama-sama kita ke hadapan dalam memacu ekosistem RISC-V; pada masa yang sama, PPKEE juga akan meningkatkan kesedaran, memupuk bakat dan budaya inovasi yang berkaitan dengan RISC-V,” katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi kerjasama itu, PPKEE dan StarFive Technology dan akan membangunkan sistem pengawal (controller) berasaskan RISC-V.

Susulan itu, StarFive Technology membekalkan PPKEE dengan dua puluh set computer VisionFive2, yang berfungsi merumahkan set cip pemprosesan RISC-V serta turut dibekalkan cip grafik terbina dengan keupayaan pemprosesan multimedia, kebolehskalaan, dan lain-lain.

Author

Pilihan Editor