HomeBeritaPolitikWan Ahmad Fayhsal kemuka usul bincang keputusan DNAA Zahid

Wan Ahmad Fayhsal kemuka usul bincang keputusan DNAA Zahid

CYBERJAYA: Satu usul tergempar sudah dikemukakan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan daripada peguam negara berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, usul tersebut mustahak demi memelihara integriti kerajaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang Malaysia.

“Saya telah menghantar usul tergempar pada jam 8.30 pagi tadi untuk Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 11 September ini untuk menangguhkan mesyuarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2).

“Mari kita sama-sama tularkan agar usul ini dipertimbangkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat. Berani kerana benar,” tulisnya dalam hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Tangkap layar usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal. – Foto: FB Wan Ahmad Fayhsal

Pada Isnin, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70 yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

 

Author

Pilihan Editor