HomeBeritaViralWanita bawa anjing lepak mamak, pekerja pantas cuci meja kerusi lepas pelanggan...

Wanita bawa anjing lepak mamak, pekerja pantas cuci meja kerusi lepas pelanggan beredar

 

TINDAKAN dua pelanggan wanita yang membawa seekor anjing di dalam sebuah restoran mamak di Bukit Sentosa, Rawang nyata mencetus kemarahan netizen.

Bagaimanapun, selepas ditegur secara baik oleh pekerja restoran, kedua wanita itu memohon maaf dan beredar dari kawasan itu.

Lapor portal mStar memetik perkongsian seorang lelaki, Tahir Salam, pekerja restoran memberikan teguran selepas menyedari salah seorang daripada mereka membawa seekor anjing ke dalam premis berkenaan.

“Mula-mula seorang yang order makan. Lepas dah hidang dan pekerja kalih (toleh) ke belakang dan layan orang lain, tiba-tiba seorang lagi datang dengan anjing tapi pekerja tak perasan.

“Selepas nampak dia pergi tegur dan mereka mohon maaf dan terus beredar,” tulis Tahir Salam yang dipercayai pengusaha restoran berkenaan.

Dalam hantaran berasingan, dia turut memuat naik beberapa foto, memaparkan seorang pekerja giat melaksanakan kerja pembersihan kerusi serta meja yang digunakan pelanggan berkenaan.

“Bukan berlakon ya. Benda dah terjadi, Yang penting kita ambil tindakan atas dasar tanggungjawab sebagai orang Islam,” tulisnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen menyelar tindakan pelanggan yang membawa anjing ke restoran berkenaan.

Dalam pada itu, netizen turut memuji tindakan pantas pihak restoran yang terus membersihkan kerusi serta meja berkenaan.

“Kes selesai. Ambil ni sebagai pengajaran untuk kita semua. Kalau nampak di mana-mana, terus tegur dan beritahu owner kerusi meja tak boleh digunakan lagi.

“Terima kasih kerana kepekaan dan prihatin pihak pengurusan. Salute.

“Alhamdulillah, sepatutnya dan semoga semua faham dah adab dan ilmu pelihara binatang,” tulis beberapa netizen.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah iaitu najis berat yang apabila disentuh wajib disertu.

Author

Pilihan Editor