HomeBerita1,000 pemandu lori hadir serah memorandum kepada JPJ Kelantan

1,000 pemandu lori hadir serah memorandum kepada JPJ Kelantan

 

KOTA BHARU: Hampir 1,000 pemandu lori berhimpun bagi menyerahkan memorandum terhadap operasi penguatkuasaan di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, di sini, hari ini.

Memorandum berkenaan diserahkan wakil Persatuan Pengusaha dan Pemandu Lori Kelantan, Azam Daud kepada wakil Pengarah JPJ negeri, Mohd Misuari Abdullah.

Azam mendakwa operasi penguatkuasaan agensi berkenaan sejak kebelakangan ini dilihat semakin menindas pemandu dan pengusaha lori yang hanya mencari rezeki untuk keluarga mereka.

“Kami adalah pengusaha yang terbabit dalam sektor pengangkutan di Kelantan dengan secara tidak langsung turut berperanan dalam memajukan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Sejak awal bulan ini, operasi penguatkuasaan yang dibuat semakin ketat sekali gus menjejaskan punca pendapatan kami.

“Kami menyerahkan tujuh tuntutan untuk dilihat oleh pengurusan atasan JPJ,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, pihaknya memohon agar satu dialog terbuka antara wakil kerajaan dengan wakilnya dapat dibuat bagi mencari penyelesaian.

Katanya, memorandum yang diserahkan itu diharapkan dapat diambil perhatian oleh pengurusan atasan JPJ sekali gus tindakan sewajarnya dapat diambil. – Harian Metro

 

Author

Pilihan Editor