HomeBerita1MDB: Polis tunggu Singapura, AS, untuk bawa pulang aset Jasmine Loo

1MDB: Polis tunggu Singapura, AS, untuk bawa pulang aset Jasmine Loo

 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunggu maklum balas pihak berkuasa Singapura dan Amerika Syarikat (AS) bagi membawa pulang aset bernilai RM93.2 juta dipercayai milik bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, permohonan untuk membawa pulang aset berkenaan sudah dihantar kepada pihak berkuasa negara terbabit.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Singapura dan AS bagi mendapatkan semula aset itu.

“Kita optimis ke arah usaha itu kerana permohonan untuk membawa pulang aset berkenaan datang dari pihak dia (Jasmine) sendiri dan setakat ini, respons yang kami terima dari pihak berkuasa di sana sangat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kapcai Ride Anti-Scam JSJK 2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Jasmine, 49, ditahan pada 7 Julai lalu selepas menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana 1MDB.

Bulan lalu, PDRM mengesahkan sudah menyita dan merampas sebahagian aset hasil penyelewengan 1MDB yang didaftarkan atas nama Jasmine Loo.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, aset itu merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah, jam tangan dan dokumen berkaitan dianggarkan bernilai RM93.2 juta iaitu nilai semasa pembelian dibuat pada 2013.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, Ramli berkata, siasatan masih di peringkat awal.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain mengesahkan pihaknya menahan Ng selepas tiba di negara ini pada Sabtu lalu.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor