HomeSukan2 maut diserang pengganas, perlawanan Belgium-Sweden ditangguh

2 maut diserang pengganas, perlawanan Belgium-Sweden ditangguh

AKSI kelayakan Euro 2024 antara Belgium menentang Sweden yang berlangsung di Stadium King Baudouin, dekat Brussels, Belgium pada Isnin terpaksa ditangguhkan selepas tamat separuh masa pertama.

Perkara itu diputuskan selepas dua warga Sweden maut ditembak dalam satu serangan di Boulevard d’Ypres, yang berlokasi kira-kira 5 kilometer (km) dari stadium berkenaan.

Atas nasihat polis, Persatuan Bola Sepak Sweden mengarahkan penyokong supaya kekal berada di dalam stadium demi menjaga keselamatan masing-masing, selain memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Penyokong berada di dalam stadium selama lebih dua jam, sebelum mesej di skrin besar meminta mereka beredar dengan tenang.

“Disebabkan insiden di Brussels pada malam ini (Isnin), perlawanan dibatalkan. Kami mengambil kira faktor semua yang terjejas,” tulis hantaran skuad kebangsaan Belgium di laman X.

Pada masa sama, pemain dari kedua-dua pasukan dicadangkan supaya tidak meneruskan perlawanan yang ketika itu menyaksikan keputusan seri 1-1.

Penyerang Sweden, Viktor Gyokeres mendahului perlawanan dengan jaringan gol pada minit ke-15, namun Romelu Lukaku tampil menyamai kedudukan hanya selepas setengah jam.

Penyokong terpaksa menunggu di dalam stadium selama lebih dua jam. -Foto: Agensi

Dalam perkembangan lain, BBC melaporkan bahawa, polis Brussels bertindak menembak seorang lelaki yang disyaki membunuh dua warga Sweden itu.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditembak di sebuah kafe di Schaerbeek dan tidak dapat dipastikan sama ada dia masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Suspek dipercayai berasal dari Tunisia yang menetap di Belgium secara haram, selepas permohonan suakanya ditolak.

Sebelum ini, dia menyiarkan sebuah video dan mendakwa bahawa dia sudah melakukan pembunuhan atas nama Tuhan, manakala pejabat pendakwa raya percaya dia merupakan anggota  pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).

Menteri Dalam Negeri Belgium, Annelies Verlinden berkata, senjata automatik yang ditemui padanya adalah sama seperti yang digunakan dalam serangan pada Isnin.

Perdana Menteri, Alexander De Croo pada Selasa menyifatkan bahawa serangan itu merupakan keganasan yang mengerikan.

“Suspek cuba menimbulkan ketakutan, ketidakpercayaan dan perpecahan dalam masyarakat di negara ini.Pengganas mesti faham bahawa mereka tidak akan berjaya melakukan perkara itu,” katanya.

Author

Pilihan Editor