HomeBeritaMahkamah & Jenayah32 GRO warga asing ditahan di Taman Shamelin Perkasa

32 GRO warga asing ditahan di Taman Shamelin Perkasa

KUALA LUMPUR: Rayuan seorang lelaki tempatan untuk mengelakkan seorang wanita warga asing ditahan pihak berkuasa gagal, ketika serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa di sini, pada Rabu.

Dalam serbuan dibuat oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu, lelaki berusia lingkungan 40-an itu memberi alasan bahawa, wanita warga Vietnam itu merupakan orang gajinya.

Lelaki itu yang dalam keadaan tergesa-gesa menunjukkan pasport wanita terbabit kepada pegawai operasi dengan harapan ‘orang gajinya’ dibebaskan.

Namun, kecekapan petugas operasi bertindak menolak ‘permohonan’ tersebut, sebelum pasport dirampas berikutan alasan yang diberi mencurigakan.

Selain itu, turut dikesan wanita warga asing disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO) yang cuba menyorok di tempat kompresor penyaman udara.

Seorang wanita warga asing cuba menyorok di tempat kompresor penyaman udara ketika serbuan polis. -Foto: Sinar Harian

Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Op Bersepadu Pintas kira-kira jam 9 malam yang turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, bertindak menahan 32 wanita warga asing disyaki GRO berusia lingkungan 18 hingga 40-an.

“Semakan mendapati enam ialah warga China, manakala 26 lagi merupakan warga Vietnam.

“Turut ditahan ialah dua wanita masing-masing warga China dan Vietnam berusia 51 serta 36 tahun yang disyaki sebagai ‘mummy selain penahanan seorang lelaki tempatan yang juga pengurus premis’,” katanya seperti dlapor Sinar Harian.

Serbuan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur pada Rabu. -Foto: Sinar Harian

Beliau berkata, siasatan mendapati, rumah kedai yang diubah suai menjadi pusat hiburan itu telah mula aktif sejak Mei lalu.

Katanya, premis yang beroperasi di tingkat satu itu dilengkapi dengan pub dan tiga bilik karaoke.

“Dipercayai GRO yang dikendalikan oleh dua ‘mummy’ terbabit akan melayan pelanggan berhibur dan minum berdasarkan nilai tip yang diterima,” ujarnya.

Tegasnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Author

Pilihan Editor