SETIAP destinasi pasti mempunyai keunikan tersendiri yang adakalanya tidak boleh ditemui di tempat lain.
Bercerita tentang bumi Borneo iaitu di negeri Sabah, pastinya rata-rata individu yang pertama kali menjejakkan kaki di negeri itu berasa teruja melihat sesuatu yang unik dan tiada di Semenanjung Malaysia.
Baru-baru ini, MEDIA VARIASI berpeluang mengikuti pengembaraan Ekspresi Cuti Cuti Malaysia di Sabah anjuran Tourism Malaysia. Menerusi pengembaraan itu, terdapat lima jenis buah-buahan di Borneo yang menarik perhatian dan pastinya sukar ditemukan di Semenanjung Malaysia.
Ikuti bacaan ini untuk ketahui lima jenis buah unik di Borneo!
Â
1. Buah Kesusu
Salah satu tumbuhan yang semakin sukar ditemui baik di Semenanjung mahupun Borneo adalah buah kesusu. Rezeki menjejakkan langkah ke Taman Pertanian Sabah di Tenom, membuatkan kami berpeluang melihat sendiri keunikan buah kesusu yang seakan-akan virus ‘Corona’!
Jika diamati, buah ini turut kelihatan seperti ‘adik-beradik’ cempedak dan nangka, namun masih unik kerana bentuknya yang aneh ibarat alien. Jadi memang sukarlah nak jumpa di dunia!
Buah kesusu atau nama saintifiknya Artocarpus Limpato ini cuma ditemukan dalam hutan dan sering dimakan oleh haiwan seperti rusa, kijang dan babi hutan.
Selain nama kesusu, nama lain yang digunakan ialah seperti Buruni, Ematak, dan Karon.
2. Buah Bambangan
Ini pula sejenis buah mangga yang popular di Borneo dikenali sebagai buah bambangan.
Kalau tengok depan-depan memang nampak macam mangga di Semenanjung akan tetapi, saiznya sedikit besar dan tekstur lebih kasar dan rasanya lebih masam. Baunya wangi sangat memang sedap kalau buah ini digaul dalam sambal!
Menariknya, kajian yang dibuat seorang saintis Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapati, ekstrak daripada buah bambangan mampu membunuh sel kanser payudara. Haa, lepas ini kalau ke Sabah jangan lupa cari buah bambangan ye!
3. Buah Tarap
Buat anda yang gemar makan buah cempedak, jangan lupa cuba rasai keunikan buah tarap yang turut dikenali sebagai ‘cempedak berbulu’.
Buah ini juga didakwa amat berkait rapat dengan pokok-pokok nangka, cempedak dan sukun yang semua tergolong dalam genus yang sama iaitu grup Artocarpus.
Menariknya, kalau buah cempedak dan nangka akan terasa getahnya yang melekit-lekit tapi berbeza dengan buah tarap yang langsung tidak melekit.
Rasanya bukan setakat macam ‘feeling’ makan cempedak sebab ada rasa macam makan campuran cempedak, nangka dan pisang! Kalau buat goreng tepung pun ‘ongsoi’!
4. Durian Dalit
Durian lovers! Anda wajib rasai keunikan rasa durian dalit ini! Bentuk, rupa memang sama macam durian-durian yang sedia ada kita kenali tapi rasanya amat berbeza. Bau pun tak macam durian.
Durian dalit ini adalah antara buah eksotik yang mendapat permintaan tinggi ketika musim buah.
Warnanya boleh jadi antara merah, kuning ke oren dan rasanya seperti makan ‘butter’! Aneh bukan?
5. Longan Brazil
Alang-alang dah sampai di bumi Borneo, rajin-rajinkanlah diri mencari buah longan brazil yang juga dikenali sebagai matoa.
Kebiasaanya buah longan brazil ini bermusim pada bulan September – November.
Jika buah longan biasanya digigit atau kopek kulitnya, berbeza dengan ‘buah kristal’ ini yang mempunyai cara tersendiri untuk dibukanya.
Rasanya tak macam longan biasa sebab ada rasa seperti makan campuran buah laici dan rambutan. Memang sedap kalau dapat yang baru petik dari pokok, manis!