HomeBeritaAhli Parlimen dilarang label individu lain 'kafir, Zionis, Yahudi'

Ahli Parlimen dilarang label individu lain ‘kafir, Zionis, Yahudi’

CYBERJAYA: Dewan Rakyat melarang perkataan kafir, Zionis dan Yahudi ditujukan kepada mana-mana Ahli Parlimen semasa persidangan sedang berlangsung.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Abdul Johari Abdul berkata, tindakan akan diambil sekiranya beliau mendengar perkataan sedemikian digunakan lagi.

“Saya dapati ada hujah dan kenyataan yang mendorong ke arah perkara-perkara sensitif yang menguris hati yang mengeruhkan suasana dan menyentuh keharmonian.

“Bersifat `label-melabel’ antara kita termasuk perkataan seperti kafir, Zionis dan Yahudi antara Ahli-ahli Yang berhormat.

“Peraturan mesyuarat adalah salah menggunakan perkataan yang menaikkan perasaan sakit hati atau bermusuhan.

“Jadi saya gesa hentikan apatah sekarang dalam keadaan suasana yang tidak kondusif langsung yang mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Abdul Johari, Ahli Parlimen sewajarnya memperlihatkan perilaku yang baik dalam mengetengahkan isu rakyat dan negara.

Malah katanya, Dewan Rakyat bukanlah platform yang wajar dijadikan pentas politik.

Justeru, beliau mengingatkan supaya sebarang isu peribadi yang dilaporkan di luar Dewan Rakyat tidak dibawa dan diungkit dalam Dewan Rakyat.

“Isu peribadi di luar Dewan Rakyat hendaklah diselesaikan di luar Dewan Rakyat. Saya harap mulai hari ini tidak berlaku lagi,” tegasnya.

Author

Pilihan Editor