KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tersenarai antara 50 pemimpin dan ahli politik Islam paling berpengaruh menerusi edisi terbaharu ‘The Muslim 500: The World’s Most Influential Muslim 2024.’
Dalam kedudukan 50 pemimpin serta tokoh Islam teratas (Top 50), Anwar menduduki tangga ke-17 dan tokoh Islam yang menduduki tangga pertama adalah pendakwah berasal dari Yaman, Habib Umar Ben Hafiz.
Pada masa sama, antara pemimpin Islam di Rantau Asia Tenggara yang tersenarai dalam ‘Top 50’ adalah Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menduduki tangga ke-13.
Tokoh serta pendakwah Islam berkenaan dipilih berdasarkan pelbagai bidang termasuk budaya, pemikiran, kewangan dan politik serta melakukan perubahan yang memberi impak kepada dunia Islam atau penganutnya.
Sementara itu, tokoh pemikir Islam tempatan iaitu Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas diiktiraf sebagai ‘Person of the Year 2024.’
‘The Muslim 500: The World’s Most Influential Muslim 2024’ diterbitkan The Royal Islamic Strategic Studies Centre yang berpangkalan di Amman, Jordan. – Harian Metro