SUNGAI PETANI: Seorang individu meluahkan kekecewaan apabila deretan kedai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di Jalan Petri, Sungai Petani, Kedah yang sepatutnya diusahakan peniaga tempatan kini dikuasai warga asing.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, lelaki yang dikenali Firdaus Yusoff memaklumkan sejak 20 tahun lalu, kebanyakan kedai di bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di situ diusahakan peniaga tempatan.
Malah katanya, kawasan itu juga menjadi transit pengangkutan awam utama di Sungai Petani.
“Saja hari ni tergerak nak mai (datang) cari makan kat tapak stesen bas pekan (tapak stesen bas lama) di pekan.
“Terkejut dan sedih, kedai yang dimiliki PKNK jadi kedai warga asing. Lagi saya terkejut warga Nepal jual sayur di tapak milik PBT,” tulisnya.
Lebih menyedihkan kata Firdaus berkata, beberapa kedai di situ juga sebelum ini menjadi tempat lepak pelajar sekolah sebelum pulang ke rumah.
“Kedai Pak Cin Bihun Sup selain Restoran Marina tu lah ‘port’ (tempat) budak sekolah terutama budak Sekolah Khir Johari dan berdekatan makan sebelum balik ke rumah masing-masing.
“Saya akan panjangkan juga isu ni kepada agensi berkaitan dan harap sangat jangan tutup sebelah mata. Takkan nak biaq SP (Sungai Petani) jadi macam Pudu,” luahnya geram.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna telah meninggalkan pelbagai reaksi yang mendakwa isu berkenaan turut didalangi warga tempatan.
“Mereka takkan bertapak sendiri kalau orang Melayu itu sendiri yang benarkan, kena cari siapa yang sewakan kedai ni,” kata Fiza Fiza.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Mohd Fazlan Mohd Hashim.
“Tulah orang Melayu banyak yang nak mencari cara dan jalan mudah dengan menyewa sahaja kedai mereka kepada warga asing tanpa risau masalah yang dihadapi masa hadapan,” ujarnya. – Kosmo!