HomeBeritaPolitikBekas MB Pahang sukar ramal BN atau PN rebut Pelangai

Bekas MB Pahang sukar ramal BN atau PN rebut Pelangai

CYBERJAYA: Tinggal lagi sehari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai pada Sabtu, ramalan tentang individu yang bakal merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu masih lagi menjadi tanda tanya.

Perkara itu dibangkitkan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob, yang mengakui sukar untuk ‘meramalkan’ sama ada kerusi kubu kuat UMNO tersebut akan kekal memihak Barisan Nasional (BN) atau jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).

Berpengalaman lebih 36 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pelangai, Adnan berkata, ia berdasarkan pemerhatiannya sendiri sejak turun berkempen di lapangan bermula Selasa lalu, bagi membantu jentera BN terutama calon, Datuk Amizar Abu Adam.

Menurut ADUN Pelangai lapan penggal itu, beliau mendakwa kedua-dua parti yang bertanding membawa isu tiada kaitan dengan kawasan berkenaan, terutama ketika berceramah apabila kebanyakan gemar menyentuh isu di peringkat persekutuan.

“Saya mula turun sejak Selasa, Rabu dan Khamis. Insya-Allah Jumaat pun saya akan turun (berkempen).

“Sekarang ini bila orang itu beri tahu (peluang) 50-50, maknanya orang itu tidak tahu. Jangkaan 50-50 itu adalah kata-kata yang selamat untuk semua orang.

“Pada saya, setakat hari ini kedudukan yang sebenar belum dapat dipastikan lagi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas faktor yang menyumbang kepada keputusan yang masih lagi samar-samar, Adnan yang mesra disapa ‘Long Nan’ berkata, liputan kempen masih ada kelompongan kerana terdapat kawasan atau rumah yang belum dikunjungi, dalam usaha mendekati seramai mungkin pengundi di DUN Pelangai.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah sukar untuk membuat penilaian kerana berdepan dengan kekurangan ‘dapatan’ menerusi hasil tinjauan setempat.

“Pertama sekali kita belum habis lagi merayau rumah ke rumah. Kedua pula saya tengok ceramah-ceramah pun lebih banyak menjurus hal yang besar, hal yang tidak berkaitan sangat dengan rakyat di bawah.

“Maknanya (ada jadikan modal ceramah) di Pelangai ini tidak ada kemajuan sepanjang 40 tahun lalu,” katanya.

Adnan berkata, PRK kali ini bukan soal kerajaan, memandangkan perkara lebih mustahak adalah keputusan pada Sabtu yang bakal menentukan hala tuju parti.

Menang atau kalah, beliau berkata, ia adalah lumrah dalam kancah politik lalu, yang mana masing-masing perlu bermuhasabah untuk memperbaiki parti serta tampil dengan lebih kuat pada pilihan raya akan datang.

“Dalam politik ini, tidak ada bagi peluang atau tak bagi peluang. Kalau misalnya UMNO kalah, UMNO kena bekerja kuat untuk mencari pengaruh. Kalau misalnya PN pula kalah, PN pun kena sedar diri.

“Maksudnya kempen-kempen selama ini tidak menjadi. Cari jalan, cara baharu, soal naratif tak timbul. Yang penting kita memilih wakil rakyat, betul bukan memilih kerajaan tetapi memilih wakil rakyat.

“Kerajaan (negeri) tetapi (diterajui Menteri Besar) Datuk Seri Wan Rosdy (Wan Ismail). Insya-Allah dan tetap dengan 17 kerusi (BN) yang ada sekarang ini. Maknanya sekarang ini tinggal 16 kerusi (akan dapat) 17 kerusi balik Insya-Allah. Kalau kita ada 16 kerusi (sekalipun) PKR, DAP ada. Jadi lapan campur 16 adalah 24 kerusi.

“Nak memerintah kena ada 22 kerusi. Ini tidak ada masalah kerana ini bukan soal memilih wakil rakyat, bukan soal kerajaan tetapi nak menentukan kesinambungan parti. Itu mustahak,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor