KANGAR: Bekas anggota tentera yang disyaki menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau direman tujuh hari bermula Ahad.
Suspek berusia 38 tahun itu ditahan hingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek disiasat kerana dipercayai membunuh Munirah Abu Bakar, 31, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, dalam kejadian di kediaman pasangan terbabit di Jalan Padang Nyu, Arau pada Sabtu.
Perintah reman dikeluarkan jam 8.45 pagi oleh Majistret Mahkamah Kangar, Siti Norhasliza Md Ali di Mahkamah Majistret Kangar, selepas suspek dibawa ke mahkamah berkenaan sekitar jam 8.30 pagi.
Lapor Berita Harian, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi ketika dihubungi mengesahkan reman suspek.
Dalam kejadian jam 6 pagi Sabtu, dipercayai berlaku pergaduhan antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah itu ketika mangsa sedang bersiap keluar bertugas.
Suspek yang ‘naik angin’ selepas itu secara tiba-tiba mengambil pisau dan menikam dada mangsa.
Selepas membunuh mangsa, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mayat mangsa dengan selimut tebal, sebelum memandu kereta dan menghantar dua anak mereka berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh.
Suspek kemudian menyerah diri dengan memaklumkan kejadian berkenaan di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar jam 10 pagi, sebelum polis ke lokasi kejadian.