HomeBeritaBelanjawan 2024: Tandas di 8,354 sekolah hampir siap tahun ini

Belanjawan 2024: Tandas di 8,354 sekolah hampir siap tahun ini

KUALA LUMPUR: Projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah dijangka hampir siap sepenuhnya tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu antara permasalahan rakyat yang sedang diatasi kerajaan.

“Tidak boleh diterima akal bahawa selama ini kita membiarkan anak-anak mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 atau Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Selain itu,katanya, tandas awam di seluruh negara akan dibaik pulih pada tahun hadapan.

“Sebanyak RM150 juta disediakan bagi menyelenggara dan membaiki 150 tandas awam PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, fungsi Jabatan Bantuan Guaman akan diperkasakan, dalam membela nasib rakyat susah untuk mendapatkan keadilan saksama.

Justeru, katanya, sebanyak RM10 juta tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri diperuntukkan pada tahun hadapan.

Beliau berkata, peruntukan itu digunakan bagi membela nasib rakyat Malaysia, yang menjadi sindiket penipuan pekerjaan serta kes kebajikan lain di luar negara.

“Alhamdulillah, susulan kenaikan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh kepada RM50,000, bilangan kes sivil dan syariah yang mendapat bantuan guaman telah meningkat kepada 8,500 kes,” katanya.

Pada tahun hadapan juga, Anwar berkata, Dasar Peluang Kedua akan diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah dan memiliki hutang tidak melebihi RM40,000.

Hasil pelaksanaan dasar itu juga, katanya, Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 juga telah melepaskan secara automatik daripada pengisytiharan muflis bagi kes-kes semasa dan terkebelakang yang memenuhi syarat.

“Setakat Julai 2023, hampir 14,000 kes muflis dengan hutang kecil di bawah RM40,000 telah dilepaskan daripada kebankrapan,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor