AROMA yang menyengat dengan kepekatan warna yang memikat pastinya membuat para penggemar kopi tidak senang duduk jika sehari tidak meminumnya.
Maka, tidak hairanlah jika dilihat di Malaysia makin banyak munculnya gerai atau kedai kopi persis ‘cendawan tumbuh selepas hujan’, kerana memiliki permintaan tinggi.
Berdasarkan data International Coffee Organization, rakyat Malaysia secara purata meminum 107 cawan kopi pada tahun 2021 berbanding hanya 52 cawan pada empat tahun sebelumnya.
Namun tahukah anda, Malaysia turut mempunyai sejarah yang unik dalam pengolahan dan penyajian kopi?
Kopi pertama kali diperkenalkan di Malaysia oleh pedagang Arab dan India pada awal abad ke-19 yang pada ketika itu menghubungkan laluan pedagang utama dunia.
Malah, Malaysia amat bertuah kerana dikurniakan tanah yang subur bagi penanaman kopi seperti di Cameron Highlands, Bukit Fraser di Pahang dan Tenom di Sabah dan banyak lagi.
Nak tahu trivia menarik mengenai kopi? Ikuti perkongsian dibawah:
1. Nama “kopi” berasal daripada perkataan Arab “qahwa,” yang merujuk kepada minuman berkafein. Kopi pertama kali ditemui di wilayah Ethiopia dan kemudiannya diketahui oleh dunia Arab sekitar abad ke-15.
2. Pokok kopi berasal dari genus Coffea dan terdapat lebih daripada 100 spesies kopi yang berbeza. Namun, hanya beberapa spesies yang digunakan secara meluas dalam industri kopi.
3. Kopi termahal dunia ialah Kopi Luwak yang dihasilkan secara eksklusif selepas biji kopi dihadam musang sawit di Indonesia.
4. Terdapat banyak jenis kopi yang mempunyai cita rasa yang berbeza mengikut penggemarnya seperti Arabica, Robusta, dan Liberica.
5. Selain Malaysia, kopi juga mempunyai peranan penting dalam budaya sesetengah negara. Seperti majlis minum kopi seperti “kopi tumpah” di Ethiopia dan “upacara perkahwinan” di Jepun.