LUMUT: Dua beranak cedera akibat terkena sengatan ubur-ubur ketika mandi di Pantai Teluk Batik, Manjung, di sini pada Ahad.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, lelaki berusia 40 tahun dan anak lelakinya berusia tiga tahun cedera di bahagian belakang badan, lengan dan kaki.
Beliau berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.18 tengah hari, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Manjung dihantar ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi kejadian didapati terdapat dua orang mangsa iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun disahkan terkena sengatan ubur-ubur ketika mandi laut.
“Kedua-duanya mengalami kecederaan di belakang badan, lengan dan kaki,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sehubungan itu, katanya, anggota bomba memberikan rawatan khas dan membawa mangsa ke hospital bagi rawatan susulan.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Azliza Asli itu tamat pada jam 12.35 tengah hari.