TINDAKAN tidak bermoral seorang guru di sebuah maahad di Ayer Molek, Melaka, akhirnya menerima hukuman setimpal apabila didapati bersalah memperdayakan dua wanita untuk pinjaman wang sehingga mendorong mangsa melakukan hubungan seks, sejak Mac lalu.
Kesalahan itu membuatkan tertuduh dedenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka, hari ini, lapor Kosmo.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahmad Saifullah Abdul Khalid, 33, yang mengaku bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati telah menipu dua wanita berusia 19 tahun serta 33 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai tawaran pinjaman wang masing-masing berjumlah RM300 dan RM2,000 sehingga mendorong mereka melakukan hubungan seks dengannya.
Kesalahan itu masing-masing dilakukan pada pukul 12.40 tengah malam pada 21 Mac 2023 di sebuah hotel bajet di Jalan Plaza Mahkota dan pukul 11 pagi di sebuah rumah bernombor di Bukit Baru pada 1 Oktober 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Malah, tertuduh turut didapati memiliki tujuh keping gambar lucah yang terkandung dalam telefon bimbitnya kira-kira pukul 1.50 petang di sebuah sekolah maahad di Bukit Lintang, Ayer Molek dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman berbentuk denda yang berpatutan diberikan dengan alasan dia kini menanggung kedua ibu bapanya serta isteri yang sedang melanjutkan pengajian, selain dua anak kecil.
Tertuduh turut menyatakan telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya lagi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda berjumlah RM7,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama dan kedua serta RM5,000 atau 10 bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan ketiga.