HomeBeritaHampir 200 pemandu lori berhimpun, mogok di Negeri Sembilan

Hampir 200 pemandu lori berhimpun, mogok di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Hampir 200 pemandu dan pengusaha lori di negeri ini hadir berhimpun sebagai tanda protes terhadap operasi penguatkuasaan berterusan terhadap mereka yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Difahamkan, kumpulan itu pada mulanya berhimpun di kawasan selepas Plaza Tol Senawang di sini dan kemudiannya menuju ke Pejabat JPJ Negeri Sembilan di Jalan Seremban-Tampin bagi penyerahan memorandum bantahan mereka.

Berdasarkan paparan foto yang tular di media sosial, antara bantahan dan tuntutan gang ‘pilot darat’ itu termasuklah meminta pihak berkuasa mengenakan saman kepada pihak kilang dalam isu berat berlebihan, menaikkan had berat dengan muatan (BDM) serta menghapuskan saman dimerit kepada pemandu.

Lapor Utusan, seorang pemandu lori, Norddin Sidek, 45, berkata, dia meminta supaya pihak JPJ bersikap lebih bertimbang rasa dalam isu tersebut.

“Pemandu lori bukan gaji besar, tetapi jika setiap bulan perlu membayar saman bagaimana mahu menyara keluarga, satu saman sahaja sudah RM350 sampai bila macam ini.

“Saya tidak boleh tahan, hari-hari ada operasi disasarkan kepada kami, lori kosong pun mereka tahan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Kesavan pula berkata, pelaksanaan pemotongan mata dimerit kepada pemandu juga perlu dikaji semula.

“Pemandu lori tidak faham berkenaan sistem dimerit ini, kami sudah bayar saman tetapi mengapa pula masih potong mata dimerit kami, kita tahu jika mata dimerit ini dipotong lesen kami akan digantung, ibu begitu membebankan kami,” luahnya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf telah menerima sendiri memorandum daripada wakil pemandu-pemandu lori tersebut.

Jelas beliau, pihaknya mengambil maklum akan bantahan dan tuntutan yang disampaikan oleh pemandu-pemandu lori itu dan akan membawa perkara tersebut untuk diambil perhatian pihak atasan.

“Segala isu yang dibangkitkan ini adalah melibatkan dasar, saya akan sampaikannya kepada pihak ibu pejabat di Putrajaya hari ini juga.

“Saya percaya perkara ini di dalam pengetahuan pihak atasan dan menjadi isu nasional kerana pemandu-pemandu lori di beberapa buah negeri juga sudah mengadakan tindakan sama beberapa hari kebelakangan ini,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor