HomeBeritaHampir 40 peratus doktor di Malaysia kena buli

Hampir 40 peratus doktor di Malaysia kena buli

CYBERJAYA: Hampir 40 peratus doktor di negara ini dipercayai menjadi mangsa buli.

Perkara itu dirujuk menerusi hasil kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang dilaksanakan antara 15 September hingga 1 Oktober lalu.

Presiden MMA, Dr Azizan Abdul Aziz berkata, kajian mendapati mangsa buli tidak membuat aduan kerana takut atau tidak tahu bagaimana mengadu.

Malah kongsinya, keadaan lebih menggerunkan mangsa apabila tiada tindakan diambil terhadap kes yang merekodkan aduan.

MMA menyatakan perkara sedemikian boleh memberi kesan buruk terhadap penjagaan pesakit, terutama dalam sektor penjagaan kesihatan awam jika ia tidak ditangani dengan baik.

“Sebanyak 253 kes buli direkodkan dengan jumlah tertinggi dilaporkan di Sarawak (15), Selangor (sembilan) dan Perak (lapan) manakala sebanyak 197 kes buli direkodkan daripada negeri yang tidak diketahui.

“Sabah dan Melaka bagaimanapun tidak merekodkan sebarang kes buli,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa, buli turut memberi kesan kepada doktor dalam semua peringkat membabitkan jumlah seramai 168 pegawai perubatan yang terkesan terhadap perkara itu.

Menurutnya, sebanyak 50 peratus kakitangan perubatan dan pakar yang mengambil bahagian dalam tinjauan terbabit turut melaporkan perkara sama.

Maklumnya lagi, seramai 728 doktor daripada sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta telah mengambil bahagian dalam tinjauan berkenaan dan daripada jumlah itu, seramai 476 adalah mereka daripada pegawai perubatan, pakar (207) dan doktor pelatih (46).

Katanya, tinjauan itu turut mendapati kebanyakan doktor di Malaysia bekerja secara berlebihan, terutama doktor berusia muda.

“Tinjauan mendapati sebanyak 60 peratus doktor muda yang pengalaman kurang dua tahun bekerja lebih masa setiap hari.

“Penemuan kajian berkenaan adalah penting walaupun bilangan doktor yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu hanya sebahagian kecil daripada doktor daripada keseluruhan sistem penjagaan kesihatan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor