HomeBeritaHimpunan ‘Freedom for Palestine’ dikritik hebat, Dr. Musa mohon maaf

Himpunan ‘Freedom for Palestine’ dikritik hebat, Dr. Musa mohon maaf

PETALING JAYA: Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin membuat permohonan maaf atas beberapa insiden yang berlaku sepanjang penganjuran perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.

Ia susulan beberapa peserta yang hadir ke acara tersebut mengecam pihak penganjur kerana dikatakan meletakkan pelbagai syarat termasuk melarang penggunaan sepanduk yang mengecam Presiden Israel, Benjamin Nentayahu.

Dr. Musa menerusi ciapan di aplikasi X berkata, peraturan yang diambil pihak penganjur adalah selaras dengan arahan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar perhimpunan itu berada dalam sempadan kemanusiaan.

“PDRM memberi arahan yang jelas kepada pasukan keselamatan kami untuk mengambil tindakan pantas terhadap ucapan kebencian, poster dan ejen provokator yang berniat untuk menggagalkan perhimpunan kemanusiaan dan aman kami.

“Namun demikian, saya difahamkan terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara kelangsungan perhimpunan kami. Oleh yang demikian, bagi seluruh pihak VPM kami memohon maaf atas segala kekurangan,” katanya hari ini.

Sementara itu, berhubung lauangan takbir ‘Allahuakbar’, beliau menegaskan perkara tersebut tidak perlu dijadikan isu kerana ramai tetamu jemputan turut melaungkan takbir ketika berucap.

Ini kerana Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin dan Nurul Izzah Anwar turut melaungkan takbir ketika berucap.

“Takbir bukan isu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah dan Presiden Ikram Badlishah Sham Baharin bertakbir ketika berucap. Ramai yang bertakbir yang kami tidak hentikan.

“MC (juruacara) hanya mengingatkan bahawa ini adalah perhimpunan berbilang agama dan kita patut membuat nyanyian yang semua orang boleh sertai,” jelasnya.

Terdahulu, ramai menyifatkan himpunan berkenaan sebagai gagal kerana penganjur tidak memfokuskan tujuan sebenar iaitu bersolidariti untuk Palestin. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor