HomeBerita'Jangan salur sumbangan kepada tabung derma meragukan' - Duta Palestin ke Malaysia

‘Jangan salur sumbangan kepada tabung derma meragukan’ – Duta Palestin ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diingatkan supaya berhati-hati dan menyalurkan sumbangan kepada rakyat Palestin, yang terjejas akibat keganasan di Gaza kepada saluran yang betul.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya sumbangan itu tidak disalurkan kepada tabung derma yang meragukan.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menekankan tentang kepentingan untuk memastikan sumbangan kepada penduduk Palestin sampai kepada penerimanya.

Beliau juga mengingatkan rakyat negara ini akan keperluan ketelusan serta akauntabiliti.

“Adakah rakyat Malaysia pernah bertanya mengenai penerima sumbangan tersebut? Apabila anda menyumbang, adakah anda pernah bertanya? Adakah sumbangan anda sampai kepada sasaran?” soalnya seperti dilapor Scoop pada Selasa.

Mengulas lanjut, Walid berkata, peringatan tersebut dibangkitkan bagi memastikan sumbangan rakyat Malaysia memberi kesan positif kepada penduduk Palestin.

Beliau menyifatkan kemurahan hati rakyat Malaysia sebagai sokongan padu dan berkekalan terhadap negara Islam itu.

“Saya tidak fikir mana-mana penduduk Palestin boleh mempersoalkan sokongan berterusan Malaysia kepada Palestin.

“Kami percaya, dan saya percaya, bahawa Palestin berada di dalam hati rakyat Malaysia,” katanya.

Pada April tahun ini, Walid meluahkan kekecewaan terhadap penyalahgunaan nama Masjid Al-Aqsa untuk tujuan kutipan derma manakala dana yang dikumpulkan didakwa tidak sampai kepada penerima sepatutnya.

Dakwaan sama pernah dibuat pada 2020, yang mana beliau mendakwa bahawa, derma yang dikumpulkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, tidak sampai kepada dana masjid selama bertahun-tahun.

Pada masa sama, beberapa NGO seperti Muslim Care Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Global Peace Mission, MyCARE, Haluan Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Medicom, dan Cakna Palestin, tampil menegaskan bahawa sumbangan yang dikumpul telah disalurkan kepada badan kemanusiaan serta diaudit.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin – termasuk menyediakan dana sebanyak RM10 juta.

Ia adalah tambahan kepada dana permulaan RM1 juta, yang diumumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada Khamis.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua syarikat pelaburan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta akan mengumpul sekurang-kurangnya RM100 juta, berikutan keadaan yang semakin kritikal di Semenanjung Gaza.

Keganasan terbaharu di Palestin, yang melibatkan Hamas – yang memerintah Gaza – dan kerajaan Israel, telah membawa kepada beribu-ribu kematian di kedua-dua belah pihak sejak 7 Oktober.

Bagi menangani kebimbangan mengenai pengagihan sumbangan, Walid berkata, sebagai duta, beliau tidak pernah meminta atau secara peribadi menerima sumbangan.

Sebaliknya, semua sumbangan disalurkan menerusi akaun bank yang dibuka dengan kerjasama Wisma Putra, di bawah pemantauan kementerian.

Beliau memberi contoh ketika Zambry menyerahkan cek replika berjumlah RM1 juta, untuk sumbangan segera bantuan kemanusiaan kepada Palestin di Parlimen.

Duta berkenaan juga menegaskan, beliau tidak mengendalikan wang secara langsung dan semua sumbangan disalurkan kepada saluran yang betul untuk memastikan ia sampai kepada penerima.

Selain itu, Walid juga memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa satu-satunya sumbangan yang dianjurkan oleh kedutaan di negara ini, semuanya untuk dua tujuan sahaja, iaitu untuk pelajar Palestin dan komuniti Palestin di Malaysia.

Sumbangan ini disalurkan kepada penerima tanpa sebarang perantara.

“Anda boleh menyumbang secara terus kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Mengulas mengenai kebimbangan untuk derma bagi Masjid Al-Aqsa, duta itu menggalakkan rakyat Malaysia menyumbang kepada Dana Hashemite untuk pemulihan Masjid Al-Aqsa dan the Dome of the Rock, yang dikawal oleh Jordan.

Beliau mencadangkan sumbangan itu dibuat menerusi Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan, yang boleh menyelaras proses tersebut.

Bagi bantuan kemanusiaan, Walid mencadangkan sumbangan dibuat menerusi Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir dan Palang Merah Palestin, yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Al-Quds, dan seterusnya.

Bagi memudahkan sumbangan yang diumumkan kerajaan Malaysia, Walid berkata, ia akan dihantar dari Malaysia ke Gaza melalui Mesir.

Tambahnya, usaha itu perlu diselaraskan antara kerajaan ke kerajaan (G2G) dan menggalakkan semua pihak, sama ada individu, institusi, kerajaan, badan bukan kerajaan untuk berhubung dengan Wisma Putra, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar), atau kedutaan Malaysia di Mesir.

Author

Pilihan Editor