HomeBeritaKawalselia Padi Dan Beras jangan tunduk kepada kartel padi - PeSawah

Kawalselia Padi Dan Beras jangan tunduk kepada kartel padi – PeSawah

ALOR SETAR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) kesal dengan penurunan harga pembelian padi kepada sekitar RM1,250 daripada RM1,700 setiap metrik tan dipercayai kesan dari campur tangan kartel.

Pengerusinya, Mohd Fuad Yaacob berkata, penurunan itu berlaku dalam masa yang singkat meskipun jaminan telah dibuat oleh Kawalselia Padi Dan Beras, sekaligus menganiaya pesawah yang turut berhadapan peningkatan kos operasi pengeluaran.

“Apakah Kawalselia Padi dan Beras sudah tunduk kepada kartel-kartel padi? Kami berharap agar harga belian ini ditetapkan pada harga RM1,700 supaya ia dapat dinikmati petani di seluruh negara.”

“Dalam situasi ini, kerajaan perlu mengkaji semula peranan badan kawal selia dan melakukan bedah siasat bagi melihat kewujudannya membantu pesawah atau sebaliknya,” katanya.

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga katanya turut membeli padi pada harga yang rendah, meskipun telah dipersetujui untuk pembelian pada harga RM1,600 per metrik tan.

Exco PeSawah, Abdul Rashid Yob pula menjelaskan peningkatan harga beras yang dikawal oleh kerajaan pada ketika ini, menyebabkan kesan rantaian kepada pesawah.

“Apabila harga beras terus kekal RM2.60 sekilogram, maka kos-kos awal ditanggung oleh pesawah. Ini bermaksud petani menyara rakyat Malaysia termasuk pendatang asing.”

“Ini tidak adil kepada kami kerana kos input pertanian, baja, racun dan sebagainya sudah meningkat,” katanya.

Tambahnya, harga jualan benih padi juga meningkat mendadak kepada hampir RM60 sekampit, berbanding harga RM35 meskipun sudah disubsidi kerajaan.

Justeru, pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan dituntut pesawah bagi memastikan tidak ada manipulasi dilakukan di mana-mana bahagian rantaian pengeluaran padi dan beras dalam menjamin pengeluaran yang mencukupi.

Ini termasuk menyalurkan terus subsidi padi kepada pesawah bagi membolehkan urusan pembelian dilakukan mengikut keperluan dan kesesuaian benih padi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan bantahan isu harga belian padi bersama pesawah di Kampung Lahar Budi, di sini. – Buletin TV3

Author

Pilihan Editor