BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu menjadikan kekecewaan gagal ke final Sukan Asia Hangzhou sebagai motivasi utama untuk menaiki podium pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Pasangan di ranking kelima dunia itu kempunan ke final selepas tewas 17-21, 12-21 kepada beregu No.3 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam masa 46 minit pada aksi separuh akhir kelmarin.
Walaupun berjaya meraih pingat gangsa, tetapi Aaron, 26, tidak berpuas hati dengan prestasi kerana merasakan aksi kurang menjadi selain banyak melakukan kesilapan unforced error.
“Semua kejohanan kita pernah ada pingat tetapi bagi saya masih tak cukup. Kalau semua kejohanan boleh dapat pingat emas, itu barulah okay.
“Bagi saya masih tak cukup, harap nanti boleh menang di Jelajah Dunia. Sekarang banyak lagi proses kerana yang penting Paris 2024 nanti,” katanya.
Nada sama turut disuarakan Wooi Yik, 25, yang menegaskan, motivasi dan fokus mereka tidak terjejas disebabkan satu permainan kurang menjadi.
Kegagalan ke final menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal menamatkan penantian 17 tahun negara dalam acara beregu lelaki sejak Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjuarai edisi 2006 di Doha, Qatar.
Namun, kredit perlu diberikan kepada bekas juara dunia tahun lalu itu kerana menjadi penyelamat kem badminton negara dengan memenangi sekurang-kurangnya satu gangsa pada edisi Sukan Asia Hangzhou kali ini. – Kosmo!