HomeBeritaMahkamah & JenayahKenal di MiChat, mekanik berdepan sebatan, penjara 20 tahun akibat peluk remaja

Kenal di MiChat, mekanik berdepan sebatan, penjara 20 tahun akibat peluk remaja

MELAKA: Bermula dengan perkenalan selama beberapa hari di aplikasi cari jodoh, MiChat, seorang remaja perempuan menjadi mangsa nafsu serakah seorang mekanik pada Isnin lalu.

Lapor Harian Metro, akuan bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dibuat oleh Mohd Rizuan Abd Razak, 43, selepas dibacakan dan diterangkan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk remaja perempuan berusia 17 tahun sembilan bulan itu dalam keadaan tidak berbaju, di sebuah rumah di Taman Jati, Batu Berendam, di sini, pada 9 Oktober lalu, kira-kira jam 1.20 pagi.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari mengikut Seksyen 14(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan.

Hakim Darmafikri Abu Adam bagaimanapun menangguhkan keputusan fakta dan hukuman pada 28 Oktober ini, bagi membolehkan pendakwaan menyediakan fakta kes.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh yang juga bapa kepada lima anak.

Author

Pilihan Editor