HomeBeritaKenderaan cermin gelap: 108,428 notis kesalahan dikeluarkan sejak 2019

Kenderaan cermin gelap: 108,428 notis kesalahan dikeluarkan sejak 2019

 

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 108,428 notis kesalahan melibatkan cermin gelap kenderaan sejak tahun 2019.

JPJ dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 17,218 telah dikenakan saman JPJ(P)22 atas kesalahan berkenaan.

Katanya, pada Mei 2019 JPJ telah memperkenalkan peraturan baharu mengenai pemakaian cermin gelap kepada kenderaan persendirian.

“Peraturan baharu tersebut telah diwartakan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2019).

“Peraturan-peraturan tersebut telah menetapkan bahawa kadar ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan yang dibenarkan.

“Iaitu Subkaedah (1) cermin hadapan 70 peratus, Subkaedah (3) cermin tepi sisi kiri kanan pemandu 50 peratus serta Kaedah 12 (1) (b) cermin sisi bahagian belakang dan cermin belakang kosong peratus,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tegasnya, pemandu atau pemunya berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama.

“Bagi sabitan berikutnya pula, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya akan dikenakan,” ujarnya.

JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan penggunaan cermin gelap ditetapkan.

JPJ juga ingin menasihati orang awam supaya sentiasa mematuhi peraturan-peraturan sedia ada yang telah ditetapkan.

“Walau bagaimanapun, selaras dengan peraturan penggunaan cermin gelap kepada kenderaan persendirian, mana-mana individu atas faktor keselamatan atau kesihatan boleh memohon kelulusan untuk menggunakan cermin gelap dengan memohon melalui pos atau portal JPJ www.jpj.gov.my.

“Sehingga kelulusan diperolehi, mana-mana individu hendaklah mematuhi peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor