HomeBeritaMahkamah & JenayahKepala gengster tumpas, polis selesaikan 58 kes

Kepala gengster tumpas, polis selesaikan 58 kes

IPOH: Polis menumpaskan kumpulan samun bersenjata paling dikehendaki dikenali sebagai Geng Jiva selepas menahan empat individu termasuk ketua kumpulan itu menerusi serbuan di sebuah rumah di Taman Syabas, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, penahanan tiga suspek lelaki dan seorang wanita itu juga dipercayai dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 58 kes membabitkan jenayah kekerasan serta jenayah harta benda yang dilaporkan sekitar bandar raya ini.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan kira-kira 5.45 petang oleh sepasukan polis daripada Cawangan Siasatan Khas (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang turut berjaya melakukan rampasan barang kes termasuk pisau, motosikal, dan telefon bimbit yang digunakan geng itu.

“Hasil siasatan mendapati suspek terbabit melakukan sekurang-kurangnya 24 kes jenayah kekerasan dan 34 kes jenayah harta benda yang dilaporkan sekitar Ipoh khususnya di Taman Canning, Taman Ipoh Timur dan Bercham.

“Geng Jiva ini kumpulan paling dikehendaki Polis Daerah Ipoh. Penahanan empat suspek berusia 26 hingga 35 tahun itu satu kejayaan polis,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, saringan air kencing mendapati tiga termasuk suspek wanita didapati positif dadah methamphetamine, selain semakan rekod mendapati keempat-empat suspek memiliki rekod jenayah.

Menurutnya, perintah tahanan reman ke atas semua suspek itu juga sudah diperoleh bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mesej tular di media sosial WhatsApp mendakwa seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah di Taman Ipoh Selatan antara 5 hingga 6 pagi dan memukul penghuni rumah terbabit termasuk warga emas. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor