BUKIT JALIL: Mana-mana kerajaan negeri yang berminat untuk menukar rumput sedia ada di stadium milik mereka perlu mempunyai peruntukan sekurang-kurangnya RM4.7 juta.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, hal ini kerana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya menyediakan geran untuk menukar rumput, manakala jumlah RM 4.7 juta itu merupakan kos penyelenggaraan padang selama setahun serta pembelian mesin penyelenggaraan.
“Tanam rumput sahaja tak cukup, kena beli mesin juga untuk selenggara padang, jadi kerajaan negeri harus ada kira-kira RM4.7 juta untuk gunakan rumput Zeon Zoysia, tetapi mungkin juga lebih atau kurang bergantung kepada keadaan sedia ada padang di stadium tertentu.
“Semua sedia maklum bahawa baru-baru ini terdapat enam negeri yang mengadakan PRN (Pilihan Raya Negeri) dan mereka mahu lihat dahulu status dan kos penyelenggaraan sekiranya mahu menggunakan rumput Zeon Zoysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Khamis selepas majlis pelancaran padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, TMJ berkenan memberi sumbangan rumput Zeon Zoysia untuk padang SNBJ.
Hannah berkata, TMJ dilihat berpuas hati dengan keadaan padang tersebut, selain memberi beberapa cadangan tentang kaedah penyelenggaraannya.
Tambahnya, pihaknya selepas ini akan mendapatkan maklum balas daripada ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dan skuad Harimau Malaya mengenai rumput baharu itu.
Pada masa sama, Hannah berkata, KBS juga menawarkan penggunaan SNBJ bagi kegunaan mana-mana sekolah yang berminat untuk mengadakan aktiviti sukan.
“Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah membuat keputusan untuk membuka SNBJ kepada sekolah-sekolah yang berminat untuk menganjurkan acara sukan bagi menyahut inisiatif KBS dalam merakyatkan sukan.
“Buat masa ini, kita hanya buka kawasan trek sahaja untuk olahraga, pada Isnin sehingga Jumaat ketika tiada acara lain dijalankan di stadium,” katanya.
Jelasnya, pihak sekolah yang berminat untuk menganjurkan acara sukan boleh melakukan tempahan.