KUCHING: Pesakit kanser harus kekal positif dan bersedia mengharungi segala cabaran dengan tabah serta tidak menganggap penyakit itu menjadi penamat riwayat hidup.
Bekas pesakit kanser, Mohd Ali Kupon, mengakui memang sedih dan kecewa selepas disahkan menghidap kanser, namun pesakit tidak harus berputus asa.
Menurutnya, pesakit perlu membuang emosi negatif dan menghakis fikiran buruk apabila mendengar perkataan kanser, sebaliknya bingkas bangkit dengan perasaan positif serta keazaman tinggi untuk sembuh.
“Usah takut, tangani dengan baik, kekal positif dalam semua situasi dan teruskan kehidupan seperti biasa. Janganlah apabila disahkan menghidap kanser, apatah lagi di tahap empat, kita rasa sudah sampai penamat hidup,” katanya pada Program Wacana#CSM Sarawak anjuran Cancer Survivors Malaysia (CSM), malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal serta Presiden Persatuan Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) Chris Cheng.
Guru Besar berusia 53 tahun berasal dari Kampung Igan dalam Bahagian Mukah itu berkata, beliau disahkan menghidap kanser pangkal hidung atau Nasopharyngeal Carcinoma (NPC) tahap empat pada tahun 2013.
Beliau amat bersyukur selepas lima tahun bertarung iaitu pada tahun 2018, doktor mengesahkan kanser itu tidak lagi dikesan di kawasan yang ditemui sebelumnya.
“Apabila kita sudah dijangkiti kanser tahap empat, yang sering kita dengar ialah orang berkata, …habislah nyawa kamu mungkin tinggal enam bulan sahaja lagi.
“Tetapi kita harus berfikiran positif walau apa pun yang kita dengar, kita harus mengawal emosi dengan tidak menganggap kanser itu membawa kematian dan berpegang kepada kepercayaan ajal maut ketentuan Tuhan.
“Kalau ajal sudah tiba, ketika asyik memancing kita boleh disambar buaya, ketika bermain bola boleh dipanah petir dan kematian seperti itu pastinya tiada kaitan dengan tahap empat,” katanya.
Mohd Ali berkata, menyedari tanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada pesakit lain harus dipikul ‘cancer survivor’ sepertinya, beliau sanggup menghadiri program wacana di beberapa lokasi seluruh negara.
“Saya sanggup menghadiri program Wacana #CSM di Melaka dan Selangor dengan perbelanjaan sendiri kerana saya sedar menjadi tanggungjawab saya untuk membantu pesakit lain menguatkan semangat untuk terus hidup.
“Saya ingin berkongsi pengalaman bagaimana saya menghadapi cabaran itu sehingga saya berjaya dan kini masih terus aktif bermain bola serta menjamah makanan kegemaran seperti buah engkalak, buah dabai malah udang galah,” katanya. – Berita Harian