HomeBeritaKPKM buka tender beras dirampas

KPKM buka tender beras dirampas

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membuka tender bagi pembelian beras dirampas melalui operasi bersepadu beras putih tempatan (BPT) yang dilaksanakan sejak dua minggu lalu.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, berkata beras adalah bahan yang mutu dan nilainya cepat merosot, maka pelepasan beras dibuat mengikut Seksyen 16(1)(C) Akta Kawalan Padi Dan Beras 1996 (Akta 522).

Beliau berkata, hasil jualan bekalan itu dipegang sementara menunggu keputusan pendakwaan.

“Kita tidak akan buang beras yang dirampas, sebaliknya jual semula ke pasaran dan memegang hasil jualan itu sementara menunggu keputusan pendakwaan. Sekiranya syarikat yang didakwa itu didapati bersalah, hasil jualan akan dijadikan hasil kerajaan.

“Sehingga kini beras yang dirampas di kilang, disita di situ sehingga kes pendakwaan dan keputusan dibuat di mahkamah,” katanya kepada BH, di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah kilang beras di Kedah disita kerana disyaki menyorok BPT seberat 180 tan dalam serbuan pasukan petugas khas Ops BPT, Selasa lalu, bernilai RM405,000 selain 10 tan bernilai RM21,000.

Awal Oktober lalu, mesyuarat Penyelarasan Pasukan Petugas Khas Operasi Bersepadu BPT yang dipengerusikan Timbalan Menteri KPKM, Chan Foong Hin diadakan bagi pelaksanaan operasi Bersepadu BPT.

Pada masa sama, Azman berkata, langkah intervensi turut dilaksanakan bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengedarkan BPT di kedai runcit, yang dikaitkan dengan ketiadaan bekalan.

Beliau berkata, tidak wujud isu kekurangan bekalan beras tempatan, sebaliknya ‘ketiadaan’ bekalan yang berlaku khususnya di kedai runcit adalah kerana mereka fokus kepada beras import kerana keuntungan yang sangat kecil.

“Jika di pasar raya tiada masalah berhubung ketiadaan bekalan beras tempatan ini,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, harga siling BPT sesuai dinaikkan kepada RM3.20 hingga RM3.40 berbanding RM2.60 yang ditetapkan pada 2008 lalu.

Beliau berkata, sehingga kini KPKM sudah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung memorandum yang diperolehi daripada Persatuan Pesawah dan Persatuan Pemborong-Pemborong Beras untuk menaikkan harga siling beras.

“Cadangan paling relevan adalah menaikkan harga siling BPT kepada RM3.20 hingga RM3.40 manakala harga lantai pula dinaikkan kepada RM1,500 setan berbanding RM1,200 kini,” katanya.

Azman berkata, pengapungan harga beras tempatan boleh dilaksanakan namun perlu dikawal kerajaan kerana ia dikhuatiri akan menyebabkan harga melambung tinggi tanpa siling. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor