HomeSukanKrisis Palestin-Israel, UEFA tangguh perlawanan bola sepak

Krisis Palestin-Israel, UEFA tangguh perlawanan bola sepak

KESATUAN Bolasepak Eropah (UEFA) menangguhkan semua perlawanan bola sepak yang dijadualkan berlangsung di negara haram, Israel dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Badan induk bola sepak itu dalam satu kenyataan pada Ahad mengumumkan, keputusan itu dibuat susulan konflik berterusan di Israel.

“Berdasarkan situasi keselamatan semasa di Israel, UEFA memutuskan untuk menanggguhkan semua perlawanan di negara itu dengan tarikh baharu akan disahkan dalam masa terdekat.

“UEFA akan terus memantau situasi dengan teliti dan akan terus berhubung dengan semua pasukan yang terlibat sebelum membuat keputusan mengenai tarikh baharu dan kemungkinan perubahan pada perlawanan akan datang,” tulisnya seperti dilapor CNN.

Antara perlawanan terjejas termasuk Israel menentang Switzerland dalam merebut kelayakan EURO 2024 pada Khamis ini.

Malah, satu lagi perlawanan kelayakan EURO 2024 antara Israel dan Kosova yang dijadual berlangsung pada 15 Oktober juga tertangguh.

Turut terjejas adalah perlawanan kejohanan EURO Bawah 21 tahun membabitkan Israel bertembung dengan Estonia dan Jerman.

Selain itu, kejohanan mini yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 17 Oktober melibatkan pasukan Bawah 17 tahun dari Israel, Belgium, Gibraltar dan Wales turut ditangguhkan.

Sebelum ini, sayap Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Briged Al-Qassam menegaskan bahawa, Operasi Banjir Al-Aqsa sedang berjalan seperti yang dirancang, bagi menggesa Israel bertanggungjawab atas serangannya di Palestin.

Serangan itu merupakan bantahan Palestin terhadap negara haram atas pencerobohan di Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin yang ditawan.

Operasi Banjir Al-Aqsa itu akan menyasarkan lapangan terbang dan kubu tentera, dengan menggunakan lebih 5,000 peluru berpandu.

Pada Sabtu, tular sebuah video memaparkan Briged Al-Qassam berada di dalam tapak rejim pengganas Israel.

Sebuah lagi video memaparkan, anggotanya turut merampas sebuah ladang Israel dan kubu rejim pengganas di Kerem Shalom, dekat selatan Semenanjung Gaza.

Malah, rakyat Palestin turut berkongsi gambar dan video memaparkan mereka merampas kereta kebal Israel.

Pada masa sama, beberapa anggota pengganas Israel dilapor sudah ditawan pejuang Palestin di Gaza.

Pada Ahad, pesawat Israel bertindak balas melancarkan serangan udara di bandar Khan Yunis, dekat selatan Semenanjung Gaza dan di bandar Beit Hanoun.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan bahawa, seramai 413 orang rakyat negara itu terkorban, manakala 2,300 lain dilapor cedera susulan serangan berterusan berkenaan.

Author

Pilihan Editor