CYBERJAYA: Gara-gara seekor kucing, sebuah bilik makmal di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang terpaksa ditutup berikutan berlakunya tumpahan bahan kimia.
Pasukan Bomba dan Penyelamat dipanggil bagi melakukan pemeriksaan di bilik makmal tersebut.
Difahamkan, tumpahan berkenaan disedari oleh pembantu makmal sebelum wanita itu menghubungi talian kecemasan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fauzian Izzuan Abdullah berkata, botol berkenaan dijatuhkan oleh kucing yang menyelinap masuk ke dalam bilik sebelum disedari pembantu makmal.
“Difahamkan, botol berkenaan dijatuhkan oleh kucing yang menyelinap masuk ke dalam bilik itu sebelum ia disedari oleh pembantu makmal,” jelasnya.
Sehubungan itu, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.48 petang dan seramai 16 anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Bayan Baru ke bergerak ke tempat kejadian.
“Ketika tiba di lokasi, didapati berlaku tumpahan bahan kimia daripada botol yang pecah di dalam bilik makmal itu.
“Ia membabitkan 10 botol bahan kimia jenis ‘Sodium Dihydrogen’ yang keseluruhannya sebanyak 500 mililiter (ml),” katanya.
Mengulas lanjut Fauzian berkata, pasukan penyelamat membuat tindakan awal dengan mengosongkan dan memastikan tiada individu di dalam bangunan itu.
“Selepas mengenal pasti jenis bahan kimia yang tumpah, pasukan bomba kemudian melakukan proses nyah cemar sebelum memastikan keadaan bilik makmal benar-benar selamat.
“Sebelum kejadian itu, kelas sudah tamat dan tiada individu atau aktiviti dijalankan di dalam makmal berkenaan,” tambahnya.
Operasi tamat pada jam 6.47 petang.