KUALA LUMPUR: Isu larangan laungan takbir pada penganjuran perhimpunan aman Freedom for Palestine di Dataran Merdeka, Ahad lalu bukan merupakan pendirian kerajaan.
Sebaliknya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, pendirian kerajaan adalah jelas dengan mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin.
“Kalau himpunan yang dihadiri oleh 300 hingga 400 orang itu yang dianjur oleh satu pertubuhan, kemudiannya dikatakan mengenakan apa-apa sekatan, boleh atau tidak boleh itu harus dilihat secara fakta kejadian pada masa itu.
“Soal dibenarkan atau tidak dibenarkan, takbir dan sebagainya saya tidak fikir itu isu utamanya. Saya Muslim, takbir maknanya melaungkan kebesaran Allah, tidak ada khilaf antara kita.
“Halnya adalah bagaimana penganjur itu mengikut budi bicara itu dan kefahaman mereka. (Ahli Parlimen) Machang boleh anjurkan 10,000 hingga 20,000 peserta esok, takbirlah kalau saya ada masa, saya akan ikut serta, dan saya akan takbir sekuat-kuatnya,” katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai isu larangan laungan takbir oleh penganjur Freedom With Palestine.
Ahad lalu, penganjur perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka iaitu Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin menerima kecaman apabila peserta yang hadir didakwa ditegah bertakbir dan larangan membawa plakad tertentu.
Ketika perhimpunan, segelintir peserta antaranya membawa plakad memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan slogan ‘Netanyahu Penjenayah Perang’.
Pada Isnin, Dr Musa tampil memohon maaf kepada semua pihak ekoran penganjuran himpunan aman itu yang tidak menimbulkan ketidakpuasan hati pelbagai pihak.
Dia dipetik berkata, beliau amat memahami terdapat beberapa pihak yang kurang berpuas hati dengan cara penganjuran perhimpunan berkenaan. – Awani