KUALA LUMPUR: Unjuran jumlah pekerja asing sehingga 30 September 2023 adalah lebih 2.7 juta orang.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, jumlah itu merangkumi lebih 1.8 juta pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan lebih 150,000 pekerja asing yang belum memasuki Malaysia.
“Penggunaan pekerja asing adalah bagi memenuhi keperluan tenaga kerja bagi sektor-sektor tertentu yang sukar diisi oleh tenaga buruh tempatan.
“Berikutan itu, kerajaan giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi menggalakkan tenaga kerja tempatan menceburi pekerjaan dalam sektor yang didominasi pekerja asing.
“Kementerian Sumber Manusia menggalakkan industri supaya beralih kepada penggunaan automasi, mekanisasi dan pendigitalan yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Tambah beliau, kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah akan dapat dikurangkan secara berperingkat dengan pelaksanaan automasi, mekanisasi dan pendigitalan.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Selasa, menjawab soalan dibangkitkan Datuk Awang Hashim (PN – Pendang) yang membangkitkan isu pekerja asing di Malaysia.