PASIR GUDANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai mengintai wanita di tandas sebuah pasar raya di Taman Bukit Dahlia, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pada jam 11 pagi, sebelum lelaki berusia 23 tahun tersebut diserahkan oleh orang awam kepada pihak polis.
“Hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek untuk siasatan lanjut juga akan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Johor Bahru pada Isnin.
“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang negara serta sebarang maklumat kejadian hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” tambahnya.
Sejak Ahad, tular sebuah video berdurasi dua minit 11 saat yang memaparkan seorang lelaki ‘bertudung’ memasuki tandas wanita.
Perbuatannya itu berjaya dikesan lalu ‘ditangkap’ oleh orang awam serta ‘disoal siasat’ oleh seorang wanita dipercayai mangsa di pasar raya berkenaan.