KOTA BHARU: Gara-gara mempunyai hubungan sulit dengan isteri rakan sendiri, seorang lelaki etnik Rohingya maut ditikam sebanyak 40 kali di kawasan kebun jagung di Kampung Melor Lama di sini, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, buruh yang berusia 44 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tikaman bertubi-tubi bahagian dada dan perut dengan sebilah pisau pemotong sayur.
Katanya, hasil siasatan mendapati, mangsa dipercayai bergaduh dengan suspek yang juga rakan senegeranya sendiri berusia 32 tahun.
“Suspek dipercayai cemburu apabila mangsa datang ke rumah sewanya pagi semalam. Dia mengesyaki mangsa dan isterinya yang berusia 29 tahun mempunyai hubungan sulit sebelum berlaku pergaduhan antara kedua-dua lelaki itu.
“Selepas bergaduh di dalam rumah, mangsa dipercayai melarikan diri ke kebun jagung berhampiran kediaman tersebut sebelum ditikam oleh suspek di kawasan itu,” katanya memetik laporan Kosmo.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Tambah Muhamad Zaki, pemeriksaan di dalam rumah menemui sebilah pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa membunuh mangsa.
Maklumnya lagi, suspek dan isterinya ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki etnik Rohingya ditemui mati akibat ditikam dengan sebilah pisau oleh rakan senegaranya sendiri selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Melor Lama di sini, semalam.