HomeGaya HidupLewat datang haid, bulu badan kasar, lebat tanda awal PCOS

Lewat datang haid, bulu badan kasar, lebat tanda awal PCOS

KUALA LUMPUR: Deena Marzuki biasa mendengar mengenai perubahan pada tubuh ketika memasuki alam remaja. Bagaimanapun perubahan dilaluinya bukan yang lazim dialami remaja lain.

Selain berat badan yang semakin bertambah, dia sering mengalami kembung perut dan kelesuan.

“Saya tak faham bagaimana gejala sedemikian boleh berlaku sedangkan saya begitu aktif dalam bidang sukan,” katanya yang kini berusia 34.

Namun, di sebalik rasa runsing, Deena meneruskan rutin hariannya dengan anggapan apa yang dialaminya itu akan ‘sembuh dengan sendirinya’.

Masa berlalu namun gejala yang ada tidak beransur baik. Malah, gejala baharu pula timbul. Selain sering pening kepala, bulu badannya juga semakin lebat tumbuh.

Apabila mencapai usia 17 tahun tetapi masih belum didatangi haid, Deena sedar sudah tiba masanya untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Doktor menjalankan pelbagai ujian darah namun hanya setelah melakukan pemeriksaan ultrasound sista dikesan pada bahagian ovarinya.

Hal inilah yang membawa kepada diagnosis Sindrom Ovari Polisistik atau Polycystic Ovary Syndrome (PCOS), sekali gus menjawab pelbagai persoalan yang membelenggu dirinya sejak melangkah usia remaja.

PCOS ialah sindrom yang menyebabkan ketidakseimbangan hormon dan metabolisme dalam tubuh wanita.

Walaupun prevalens PCOS agak tinggi dalam kalangan wanita, perbincangan mengenainya hanya mula mendapat perhatian apabila selebriti antarabangsa yang mengalami sindrom ini seperti Bebe Rexha, Daisy Ridley dan Victoria Beckham berkongsi pengalaman mereka.

Sehingga kini punca seseorang wanita itu mendapat PCOS menjadi topik perbahasan. Faktor seperti rintangan insulin, penghasilan androgen berlebihan, genetik serta obesiti dianggap penyebab yang mungkin bagi sindrom berkenaan.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Farah Leong Rahman, berkata punca tepat PCOS masih sukar dikenal pasti walaupun ramai wanita mengalaminya.

“Punca sebenar PCOS belum diketahui lagi. Ia satu sindrom metabolik yang kompleks dan puncanya pelbagai.

“Ada kemungkinan PCOS berlaku akibat kecenderungan genetik. Ia mungkin tidak diwarisi secara langsung tetapi mungkin berlaku dalam keluarga. Sekiranya anda ada saudara perempuan yang mempunyai PCOS, anda juga mungkin mewarisi sindrom itu,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya, PCOS juga mungkin berkait dengan hormon dan gaya hidup.

Dalam kebanyakan kes, wanita dalam usia subur dilaporkan menghidap PCOS dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mereka berusia antara 15 dan 49 tahun.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Ashley Chung Soo Bee berkata, satu dalam 10 wanita daripada kumpulan usia subur cenderung mendapat PCOS.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, bilangan pesakitnya yang didiagnos dengan PCOS turut bertambah.

“Saya boleh katakan seorang atau dua daripada 10 pesakit yang datang ke klinik saya menghidap PCOS,” katanya.

Menurut satu artikel yang diterbitkan pada tahun 2022 dalam jurnal The Lancet, kadar prevalens PCOS di peringkat global adalah 5 hingga 18 peratus.

Di Malaysia, hasil penyelidikan tempatan terkini mendapati prevalens sindrom ini dalam kalangan wanita Malaysia juga melaporkan hasil yang serupa. Bagaimanapun, perlu dijelaskan bahawa kajian ini dibuat dalam skala kecil.

Pada tahun 2018, kajian membabitkan 312 pesakit wanita dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya mengenal pasti 164 kes PCOS. Ini bermakna lebih separuh daripada peserta kajian menderita sindrom ini.

Sementara itu, kajian lain pada tahun 2019 yang memfokuskan kakitangan wanita di sebuah universiti tempatan mendapati 12.6 peratus daripada mereka mengalami PCOS, iaitu 85 daripada 675 kakitangan.

Kajian terkini yang dibuat tahun lalu di Lembah Klang pula mendedahkan seramai 43 daripada 410 wanita Malaysia didiagnos dengan PCOS, menunjukkan kadar prevalens 10.49 peratus.

Bagaimanapun, perlu diperjelaskan bahawa kajian yang sama mendapati 11 orang wanita (2.68 peratus) didiagnos mempunyai PCOS berdasarkan tanda serta gejala, sementara 135 wanita lain (32.93 peratus) dalam kategori disyaki, tetapi tidak disahkan, mempunyai PCOS.

Wanita yang menghidapi PCOS mungkin mengalami pelbagai gejala yang menunjukkan kewujudan sindrom, dengan ada yang lebih ketara gejalanya, berbanding yang lain.

The American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) menyenaraikan gejala yang paling lazim dikaitkan dengan PCOS ialah haid yang tidak teratur, ketidaksuburan, obesiti, hirsutisme (pertumbuhan bulu badan yang berlebihan), akne atau jerawat yang teruk, kulit muka berminyak, Acanthosis nigricans (tompok kulit tebal, gelap pada celah badan) serta sista ovari.

Antara gejala PCOS yang lain seperti kesukaran menurunkan berat badan, kutil kulit, rambut menipis di kulit kepala dan kebotakan corak lelaki.

Bagi Deena pula, gejala PCOS yang dialaminya bukan sahaja pelbagai, malah semakin lama, bertambah teruk.

“Pertambahan berat badan saya begitu melampau. Pada awalnya, saya tak ada masalah dengan kandungan gula dalam darah tetapi apabila berat badan saya bertambah, paras insulin melonjak dan mula mengalami isu rintangan insulin.

“Saya juga mengalami pertumbuhan bulu badan yang berlebihan di bahagian atas bibir dan di dagu. Bulu badan juga lebih tebal daripada biasa.

“Apabila didatangi haid, kitarannya amat tidak teratur. Masih terdapat sista pada ovari selain mengalami ketidakseimbangan hormon. Saya turut menjadi bimbang dengan isu ketidaksuburan kerana berhasrat mahukan anak sendiri pada masa hadapan.

“Masalah kembung perut juga tidak selesai dan mula mengalami migrain yang amat teruk,” tambahnya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor